Tanya Pakar: Fotografi dasar lautOleh Fairuz Zaidan
|
KEPUTUSAN nekad meninggalkan dunia teknologi maklumat (IT) untuk mendalami bidang fotografi yang diminati sejak zaman persekolahan, nyata tidak sia-sia.
Biarpun tiada siapa berani memberi jaminan, Khairul Ariffin Mohd Aris, 31, yakin dengan bidang fotografi biarpun hanya diceburi secara serius, kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, bukan calang-calang bidang fotografi yang dipilih graduan bidang sistem komputer (teori dan analisis) dari Western Michigan University di Amerika Syarikat (AS) ini, sebaliknya Khairul Ariffin mengisi portfolio barunya dengan ilmu fotografi dasar laut.
Ditanya bagaimana terfikir beralih karier sebagai jurugambar dasar laut, Khairul Ariffin berkata, segala-galanya bermula selepas isterinya memiliki lesen selam skuba.
“Sebaik isteri memperoleh lesen selam skuba, saya nekad melakukan perkara sama beberapa bulan kemudian,” katanya.
Bagai cinta pandang pertama, begitulah perasaan yang bersarang dalam hati Khairul Ariffin sebaik meneroka keindahan marin, terumbu karang dan hidupan laut berwarna-warni.
| KeIsTIMewAAN dunia dasar laut memberi kepuasan tersendiri bagi Khairul Ariffin. |
“Sebaik memperoleh lesen selam skuba, saya bagaikan pemuja aktiviti selam skuba. Lebih-lebih lagi berpeluang merakamkan gambar serta objek marin yang cukup eksotik.
“Mulai saat itu, saya nekad bergiat aktif dalam bidang fotografi dasar laut. Namun, saya juga aktif merakamkan gambar majlis, komersial dan pengiklanan,” katanya yang berkelulusan bidang Sistem Komputer (Teori dan Analisis) dari Western Michigan University di Amerika Syarikat (AS).
Bersama kolum XY - Tanya Pakar, Khairul Ariffin atau lebih mesra disapa Ipin berkongsi aspirasi dan tip menjadi jurugambar dasar laut profesional.
Bagaimana anda memperoleh kepuasan dalam dunia fotografi dasar laut sedangkan anda pakar IT?
Saya tidak terus memilih subjek fotografi dasar laut dan mendalaminya. Sebaliknya, saya bermula dengan fotografi daratan sejak 2004. Daripada pembabitan awal itulah saya menemui sesuatu yang cukup istimewa dengan dunia fotografi dasar laut.
Bagi saya, kepuasan itu berbeza. Ini turut merangkumi objek, warna dan keunikan sesuatu imej fotografi yang berjaya kita rakamkan.
Mengapa anda memilih aktif sepenuh masa dalam bidang fotografi?
Bagi saya, untuk fokus dan berjaya dalam sesuatu bidang, kita harus mendalaminya sepenuh hati. Kejayaan tidak akan datang melalui cara mudah, sebaliknya kita perlu bekerja keras.
Begitu juga bidang fotografi dasar laut, di mana kita harus mengembara dan rajin mempelbagaikan idea serta mencuba. Bagi saya, proses pembelajaran diteruskan sampai bila-bila.
Apakah semua lokasi selam skuba mempunyai kepuasan sama dalam konteks rakaman fotografi?
Ya, boleh dikatakan begitu. Namun, ini dibezakan dengan ekosistem dan spesies hidupan marin yang kadang-kala hanya membiak di sesuatu kawasan terumbu karang.
Melalui hobi ini (fotografi dasar laut), kita boleh melihat perubahan ekosistem seperti pencemaran alam dan aktiviti manusia. Seperti suatu ketika dulu, di beberapa kawasan terumbu karang di Pulau Perhentian didapati tercemar tetapi berjaya dipulihkan melalui projek dan usaha keras beberapa pihak.
Aktiviti merakamkan pemandangan dasar laut pasti membawa anda menjelajah pelbagai tempat menarik. Boleh ceritakan keunikan pulau yang dilawati?
Setiap pulau memiliki tarikan dan pesona tersendiri. Di pantai timur seperti Tioman, pulau ini ada keunikan tersendiri sama juga pulau-pulau eksotik di Sabah. Saya juga seronok merakamkan gambar di Bali.
Sebagai jurugambar dasar laut, kita wajar menjelajah ke seluruh pelusuk dunia... Namun, saya belum berkemampuan melakukannya.
Berapa agaknya kos memiliki peralatan merakam gambar dasar laut seperti kamera dan gajet lain?
Kos minimum bagi kamera fotografi yang bagus mencecah RM4,000 hingga RM5,000. Namun, ia bergantung kepada tahap kecintaan dan fokus kita bagi mendalami bidang ini.
Kos untuk membeli kamera mencecah ribuan ringgit, bagaimana dengan peralatan rakaman fotografi dasar laut?
Jika hendak diikutkan, sesetengah model kamera digital yang biasa sudah boleh digunakan untuk mengambil gambar dasar laut asalkan ia boleh memuatkan aplikasi housing. Ini penting bagi mengelak kamera dimasuki air.
Jika sekadar hobi, kos untuk mengambil gambar tidaklah terlalu mahal. Tetapi andai kita menjadikan bidang ini sebagai profesion, sudah pasti ia menuntut lebih daripada itu seperti peralatan lampu dan sebagainya.
Apakah kepakaran ini mampu menjana pendapatan lumayan?
Tidak saya nafikan, fotografi dasar laut masih baru di negara ini serta kurang mendapat perhatian terutama dalam konteks perniagaan. Namun, saya tidak menolak idea serta garapan yang dilakukan mampu menjadikan bidang ini cukup komersial.
Ketika ini, saya mempelbagaikan disiplin dan bidang kerja kepada fotografi majlis, komersial dan pengiklanan.
Apa pemerhatian anda terhadap perairan negara sejak mula berkecimpung dalam bidang ini?
Melalui pemerhatian saya, ada beberapa lokasi terumbu karang mengalami perubahan kesan tragedi tsunami beberapa tahun lalu. Ia termasuk spesies ikan dan hidupan marin yang tiba-tiba muncul di sesuatu lokasi terumbu karang.
Sejauh mana anda ingin membawa hobi dan profesion anda sebagai jurugambar dasar laut untuk dikongsi bersama masyarakat?
Selain giat mempromosi selam skuba sebagai gaya hidup sihat, saya turut menganjurkan bengkel fotografi dasar laut membabitkan kumpulan kecil. Ini menjadi forum untuk berkongsi minat dan idea yang sama.
Ketika ini, saya belum terfikir mempamerkan hasil foto saya... Insya Allah, suatu hari nanti.
Melihatkan hasil seni dasar laut yang anda potretkan, apakah anda tidak berminat menyertai mana-mana pertandingan fotografi dasar laut?
Saya belum pernah menyertai pertandingan fotografi. Ini kerana saya lebih menumpukan masa kepada profesion selain banyak terbabit dalam tugasan fotografi majlis.
Apa cita-cita anda selepas ini?
Secara jujur, saya masih belum puas biarpun sudah sering melakukan aktiviti selam skuba dan merakam imej dasar laut.
Bagi saya, kepuasan lebih dirasai andai kita berpeluang meneroka lebih banyak lokasi terumbu karang di seluruh dunia dengan merakamkan imej dan hidupan marin eksotik.
Profil
Nama : Khairul Ariffin Mohd Aris
Umur : 31 tahun
Tarikh lahir : 5 Julai 1978
Tempat lahir : Kuala Lumpur
Tinggi : 172 sentimeter
Berat : 80 kilogram
Jawatan : Pengasas Still Motion Enterprise.


































Emel