Lakaran kartun pertama ketika sakit perkenal nama Ram
CUTI sakit akibat demam campak rupa-rupanya membuka jalan personaliti ini mencipta nama dalam dunia kartunis. Ketika itu, tempoh bercuti yang agak panjang dimanfaatkan Ramzahurin Noutwil atau Ram dengan menghantar karya kepada majalah Gila-Gila.
Tidak disangka-sangka, walaupun kali pertama mencuba nasib, karya Ram disiarkan dalam majalah humor popular itu.
Minat dalam bidang kartun tercetus dalam diri ketika majalah Gila-Gila berada di puncak populariti. Seperti kebanyakan remaja lain pada era itu, Ram adalah antara peminat setia majalah Gila-Gila.
“Apabila membaca Gila-Gila, timbul keinginan untuk saya melakukan apa yang kartunis majalah Gila-Gila buat iaitu menghiburkan pembaca dengan karya mereka.
“Bakat melukis saya boleh dikatakan ada, tapi tidaklah hebat sangat. Tapi kerana kesukaan terhadap kartun dalam majalah itulah yang membuatkan saya mengasah bakat melukis kartun sedikit demi sedikit,” kata Ram yang popular dengan siri Cerita-Cerita Pak Johar, Mat Kuyup dan Don Parasit.
Menceritakan soal karya sulung yang tersiar di Gila-Gila, Ram berkata, karyanya itu terpilih untuk disiarkan dalam ruangan bakat baru. Kolum ini kata Ram, menjadi kolum impian semua orang yang mahu kartunis. Sebaik karyanya tersiar, Ram terus menyumbang kartunnya kepada majalah Gila-Gila.
Terus bercerita, Ram berkata, mungkin sudah rezekinya, pada suatu hari, beliau dipanggil pengurusan Creative Enterprise untuk menghadiri sesi temu duga sebagai kartunis untuk majalah Humor. Tawaran ini nyata tidak dipersiakan Ram.
“Saya masih ingat membawa semua karya kartun termasuk yang dihasilkan ketika saya demam campak sewaktu ditemu duga menjadi kartunis.
“Saya tidak pernah terfikir cita-cita menjadi kartunis akan menjadi realiti. Tetapi, apabila saya menghasilkan karya awal-awal dulu, saya tahu saya mampu melakukannya malah meletakkan harapan supaya karya saya diterima,” katanya mengimbau kenangan silam menjadi kartunis.
Sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam arena kartun tempatan, pernah suatu ketika Ram membuat keputusan meninggalkan seketika bidang ini. Melalui kolum XY - Di Sebalik Nama, Ram berkongsi alasan beliau ‘menarik diri’ dari melukis kartun untuk majalah.
Ikuti temu ramah ini...
Mengapa anda meminati bidang kartun?
Ini berbalik kepada kenangan ketika zaman kanak-kanak. Setiap kali membaca majalah kartun, saya rasa bagai terkesan setiap kali melihat lakaran lukisannya yang cantik.
Timbul perasaan yang manis dan menyeronokkan apabila membaca majalah begini... Ini terutamanya majalah yang sangat kita minati. Semua ini memberi inspirasi kepada saya untuk menceburi bidang kartun.
Siapa antara kartunis yang anda sukai dulu dan mengapa anda menyukai mereka?
Ramai yang saya minat. Antaranya Lat, Kerengge dan Lee Inas. Saya sukakan karya mereka kerana banyak peristiwa yang ditampilkan seolah berkaitan dengan diri kita selain timbul rasa gembira setiap kali membaca karya mereka.
Karya kartunis ini mempunyai cinema-scope, dapat menyentuh perasaan hanya dengan cara yang mudah dan cukup dengan gabungan emosi serta aksi dalam satu cerita.
Satu lagi sebab tentulah kerana lukisan mereka yang cantik membuatkan kartun lebih menarik. Impak karya mereka itulah yang mendorong saya untuk menjadi seperti mereka, menghasilkan karya yang boleh memberi kesan kepada golongan pembaca.
Adakah sukar untuk menghasilkan karya seperti yang dimaksudkan itu?
Sudah semestinya. Proses menghasilkan karya begini memerlukan usaha ekstra. Perlu buat kajian sedikit. Sebabnya, saya sendiri pernah menjadi pembaca dan tahu bagaimana perasaan seronok yang lahir ketika membaca karya berkualiti.
Jadi, saya ingin orang yang membaca hasil kerja saya juga dapat merasa yang sama. Permulaan bekerja di majalah Humor memberi latihan yang baik untuk saya kerana di situ kami perlu hasilkan kartun tanpa dialog.
Apabila kurang dialog, seseorang kartunis perlu lebih menekankan kepada aspek ilustrasi. Sebagai orang baru, mentor seperti Lee Inas, Don dan Fatah banyak memberi tunjuk ajar.
Selepas bersama Humor, anda berkhidmat untuk Gila-Gila tapi beberapa tahun selepas itu anda berhenti. Mengapa agaknya?
Antara sebab saya ambil keputusan untuk ‘berhenti’ seketika daripada menjadi kartunis adalah kerana saya rasa diri belum cukup bagus sebagai seorang kartunis dan perlu memperbaiki kemahiran.
Seperkara lagi, ketika saya berehat itu, program realiti sedang menjadi trend di Malaysia. Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada majalah humor. Ramai peminat kartun yang ingin melihat kartunis melukis secara live di depan mereka.
Saya sempat melukis karikatur secara live kira-kira empat atau lima tahun sebelum kembali semula ke majalah Gila-Gila. Sekarang, apabila ada permintaan untuk melukis karikatur, saya akan penuhi undangan berkenaan.
Dalam tempoh empat atau lima tahun tidak melukis kartun, bagaimana anda melaluinya?
Rasa rindu untuk melukis kartun sepanjang tempoh itu dan rasa rindu hendak berkarya. Tidak dinafikan, karikatur juga suatu trend dan senang mencari pendapatan melaluinya. Tetapi lain rasanya berkarya melukis kartun dengan melukis karikatur. Melukis kartun memberi kepuasan yang berbeza.
Selain menjadi kartunis, difahamkan anda juga menyanyi?
Saya dan beberapa kartunis di bawah Gila-Gila pernah tampil sebagai sebuah kumpulan nyanyian yang diberi nama GG Group. Ini boleh dikatakan sebuah projek Gila-Gila memandangkan ketika itu ada banyak persaingan, jadi masing-masing cuba tampil dengan sesuatu yang berlainan untuk menarik minat orang ramai.
Ini juga bagi saya sebagai satu cara pemasaran juga. Tidak ada masalah bagi kami yang kebanyakannya memang meminati muzik. Kartunis di Malaysia sebenarnya versatil, boleh melakukan pelbagai kerja selagi benda yang dilakukan itu diminati.
Ceritakan serba sedikit mengenai karakter kartun yang anda hasilkan?
Dalam siri Cerita-cerita Pak Cik Johar yang saya hasilkan, watak yang sering ditampilkan adalah Pak Johar iaitu seorang penglipur lara yang bercerita mengenai pelbagai kisah manusia.
Setiap isu, saya berpeluang untuk mengetengahkan bermacam jalan cerita, latar masa dan tempat serta masyarakat.
Bagaimana anda mendapatkan idea untuk berkarya?
Saya bukannya jenis orang yang mudah memperoleh idea. Oleh itu, saya terpaksa buat banyak benda untuk menjana idea. Biasanya, saya akan cuba mendapatkannya menerusi pembacaan, selalunya melalui akhbar.
Saya akan gunakan isu semasa yang ada dalam akhbar, olah sedikit dan paparkan dalam karya. Kadangkala apa yang kita nak suarakan kepada orang ramai kita boleh selitkan dalam karya.
Apa pendapat anda mengenai pentingnya kartunis tempatan menghasilkan kartun yang mempunyai ciri-ciri tempatan?
Dalam karya saya, walaupun ada masanya kisah yang dipaparkan adalah mengenai masyarakat luar negara, cirinya masih mempunyai ciri tempatan.
Tetapi apabila diperhatikan sekarang, kebanyakan generasi kartunis baru cenderung mengikut gaya kartun luar negara. Bukannya tidak boleh, saya pun baca juga kartun dan komik dari Jepun.
Tapi, mengapa perlu mengikut cara mereka sedangkan kita mempunyai ciri, gaya dan identiti kita sendiri. Kita boleh contohi teknik, teknologi dan kemajuan mereka dalam industri ini tapi keaslian karya masih perlu dijaga.