Baitumal, NGO ceriakan golongan fakir sambut Ramadan, SyawalOleh Siti Nur Almizan Aripin dan Bennie Zie Fauzi
|
![]() Kakitangan MAIWP memberi makanan secara percuma kepada orang miskin berbuka puasa di Bangunan Daruzzakah, Lorong Haji Hussein 2 Kampung Baru, Kuala Lumpur. |
SEPETANG menyaksikan golongan kurang bernasib baik menanti bantuan makanan, perasaan simpati menyentuh hati. Tercuit rasa memandang mereka yang begitu seronok diberi bantuan biarpun cuma sebungkus nasi, sedikit kurma, sebiji epal bersama sebotol air mineral.
Kegembiraan mengatasi lesu puasa dan yang datang pula pelbagai peringkat usia, latar belakang serta rupa membabitkan warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak, musafir malah ada di kalangan mereka datang bertongkat, berpenyakit selain golongan gelandangan.
Bercerita perihal Ramadan yang penuh kemuliaan, amalan bersedekah dan membuat amal jariah sememangnya dituntut kerana ganjaran pahala yang ditawarkan dibalas berlipat ganda berbanding bulan biasa.
Di merata tempat, semua umat Islam bersatu hati menghulurkan bantuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik. Selain individu, turut tampil membuat bakti termasuk syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan juga pelajar institusi pengajian tinggi.
Bertempat di perkarangan bangunan Daruzzakah, Lorong Haji Hussein 2, Kampung Baru, Kuala Lumpur, kakitangan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sibuk menyediakan bungkusan makanan hasil pungutan zakat untuk disalurkan kepada penerima yang layak.
Program Edaran Makanan Percuma Ramadan itu menjadi aktiviti wajib Baitulmal Wilayah Persekutuan sejak lima tahun lalu. Setiap hari, kira-kira 300 bungkusan makanan berkhasiat diagihkan kepada golongan daif dan fakir sekitar ibu kota.
![]() |
| Petugas Islamic Relief Malaysia menyerahkan bantuan kepada warga emas yang terlantar dan miskin. |
Edaran dibuat bermula jam 5.30 petang dan di dalam tempoh setengah jam, bungkusan makanan bermasak lengkap hidangan nasi berlauk, buah, kurma dan air mineral pasti habis diagihkan.
Program berlangsung setiap hari sepanjang Ramadan di mana Baitulmal memperuntukkan RM50,000 khusus untuk program berkenaan. Bagaimanapun, pembahagian wang zakat tidak dihadkan melalui satu cabang sebaliknya digunakan bagi membantu golongan tidak mampu.
Selain pengagihan makanan kepada fakir miskin, Baitulmal turut menyumbangkan RM1.9 juta wang zakat kepada 300 masjid dan surau berdaftar seluruh ibu kota awal Ramadan lalu.
Tujuannya sebagai bantuan bagi jawatankuasa masjid mengimarah dan menceriakan rumah Allah melalui program berkaitan.
Sumbangan Aidilfitri turut disalurkan kepada pesakit di empat hospital terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Putrajaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sumbangan berjumlah RM250,000 diserahkan kepada persatuan perubatan di semua hospital terbabit bagi membantu pesakit yang tidak mampu melangsaikan bil perubatan selain bagi membeli keperluan peralatan perubatan.
Memahami setiap denyut nadi golongan fakir, Baitulmal tidak pernah lupa 6,090 penerima wang zakat bulanan apabila mereka turut diberikan wang saku tambahan berjumlah RM400 sebagai duit raya.
Bantuan turut diberikan di dalam bentuk keperluan asas seperti beras sebanyak lima kilogram bersama bekalan makanan sampingan melalui program ziarah terutama ke rumah warga tua yang tidak mempunyai punca rezeki tetap.
Selain itu, sebuah pertubuhan sukarela antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) beribu pejabat di kota London tidak terkecuali membantu mereka yang daif menjalani ibadah puasa seperti insan lain.
Ketua Program Bantulah Mereka Berbuka Puasa 2008, Faraatika Zauji berkata, sifat kemanusiaan mendorong kebanyakan sukarelawan dari IRM mendekati golongan fakir miskin termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya, warga emas, anak yatim dan mualaf Orang Asli.
“Melalui program ini, kami mengagihkan pek makanan keperluan harian bernilai RM50 mengandungi beras, gula, garam, susu, tepung, minyak, sardin dan kurma.
“Program ini membabitkan kempen kutipan dana daripada orang ramai yang prihatin dan kami selaku badan sukarela menjadi orang tengah yang akan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada yang layak menerusi cawangan IR di seluruh dunia,” katanya.
Tahun lalu, Islamic Relief Worldwide mengagihkan makanan kepada hampir sejuta penerima. Pengagihan peringkat antarabangsa lebih tertumpu kepada golongan yang menghadapi krisis makanan disebabkan kemiskinan, bencana alam, konflik dan juga peperangan.
Manakala untuk program dalam negara, proses mengenal pasti golongan yang tidak berkemampuan dilakukan secara bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).
“Kami mempunyai pangkalan data sendiri yang dikumpul melalui maklumat diterima daripada JKM dan JKK bagi memudahkan proses pengagihan bantuan pada masa depan.
“Tahun ini, kami mensasarkan untuk mengagihkan pek makanan kepada 10,000 penerima yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM700 sebulan di beberapa kawasan dikenal pasti sekitar Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah,” katanya.
Kesungguhan dan kemurnian hati sukarelawan IRM, kakitangan Baitulmal dan mereka yang sudi menghulurkan bantuan membuktikan bahawa kemuliaan Ramadan sememangnya memberikan sedikit sinar dan melimpahkan rezeki kepada yang memerlukan.






















