Losimin, Vatsala curah bakti sejak kecilOleh Rohaniza Idris dan Mohd Azrone Sarabatin
|
![]() Losimin memegang pokok gagabang yang diakui boleh menjadi pelindung daripada panahan petir. |
KEUNIKAN dan kemahiran tokoh Warisan Orang Hidup adalah kriteria yang melayakkan mereka menerima pengiktirafan yang mula diperkenalkan tahun lalu.
Losimin Majanil, 83, adalah satu-satunya `bobohizan' atau `bobolian' (pawang wanita), yang mempunyai kebolehan merawat pesakit dalam perubatan tradisional di Sabah. Malah beliau mengetuai upacara ritual Keamatan yang diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, beliau berkata, belantara Penampang dan Tambunan sebagai ‘universiti terbuka’ yang menjadikannya pakar dalam bidang perubatan tradisional. Di situlah, ibu lima anak itu belajar ilmu perubatan tradisi, baik menggunakan pelbagai spesies tumbuhan mahu pun jampi serapah.
Beliau mempelajari ilmu daripada ‘bobohizan’ atau ‘bobolian’ veteran yang pakar dalam perubatan tradisional dari Penampang iaitu Kau Sim, Li Luip dan Noi Lip. Selain itu Losimin mendakwa belajar daripada beberapa orang bunian dikenali sebagai ‘gimbaran’ (makhluk halus yang menjadi kembar manusia tertentu).
Losimin mempelajari ilmu perubatan tradisional ketika berusia 12 tahun dan tidak pernah berhenti menambah pengetahuannya.
"Ketika rakan sebaya belajar mengenali A hingga Z, saya belajar membaca dikenali `ingkau' bagi memudahkan belajar jampi serapah. Saya diajar mengenali tumbuhan merangkumi kayu, kulit kayu dan herba untuk mengubati penyakit seperti sakit perut, kembung, cirit-birit, demam dan lumpuh.
![]() |
| Vatsala pernah membuat persembahan di depan Indra Ghandi. |
"Jika ada penyakit baru ditemui, saya menunggu sehingga malam bersesuaian untuk bertapa dan ketika itu gimbaran akan datang memaklumkan ubat penyakit berkenaan. Penyakit itu kemudian dipindahkan kepada seekor ayam. Ayam itu akan disembelih bagi memastikan penyakit berkenaan tidak berjangkit," katanya kepada Berita Minggu di rumahnya di Kampung Limbanak, Penampang.
Losimin turut terbabit mengetuai upacara `magavau' sebagai tanda kesyukuran selepas menuai padi di Penampang atau ketika Tadau Kaamatan (Pesta Menuai) sepanjang Mei setiap tahun.
Ketika berusia 12 tahun, beliau dihantar bapanya belajar ke sekolah rendah tetapi tidak tahan dibuli rakan yang jauh lebih besar berusia 20 hingga 30 tahun.
"Satu hari, saya nyaris lemas kerana dipaksa menyelam oleh tiga lelaki di sungai ketika dalam perjalanan ke sekolah menyebabkan saya nekad berhenti sekolah.
"Bapa membenarkan saya berhenti dengan syarat belajar ilmu perubatan tradisional. Ketika itu ada 10 orang sama-sama belajar dengan saya dan hanya saya lulus ujian menjadi `bobohizan'.
"Saya sedih kerana tiada seorang pun anak saya berminat meneruskan tugas saya. Saya ada mengajar beberapa penduduk Penampang tetapi selepas bertahun-tahun belajar pun mereka belum juga lulus," katanya.
Sementara itu, G Vatsala, 66 tahun atau lebih dikenali sebagai Vatsala Sivadas pula seawal usia sembilan tahun sudah belajar tarian klasik India daripada mendiang suami, V K Sivadas.
Awalnya, beliau hanyalah anak murid Sivadas dan sering berganding bersama ketika membuat persembahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Namun, keakraban dengan gurunya, Sivadas mengundang fitnah sehingga bapa Vatsala, G R Kurup terpaksa meminang Sivadas untuk dikahwinkan dengan Vatsala.
Vatsala berkahwin ketika usia 15 tahun dan terus mengasah bakat serta membuat persembahan bersama suaminya Sivadas termasuk persembahan ketika sambutan Kemerdekaan di Tasik Perdana pada 31 Ogos 1957.
Paling tidak dilupakan, diberi penghormatan membuat persembahan ketika kunjungan Perdana Menteri India, Indra Ghandi pada 1970-an ke Malaysia.
Beliau mempersembahkan tarian Shakuntala karya lagenda klasik Kalidasa yang digarap dengan variasi tempatan apabila lagu untuk tarian itu diterbitkan Hamzah Dolmat dan disampaikan penyanyi Kamariah Nor.
Selepas persembahan itu, beliau dan suaminya sering dijemput membuat persembahan Shakuntala di seluruh negara dan peringkat antarabangsa.
Kini, Vatsala menjadi tenaga pengajar di Akademi Seni Kebangsaan selain meneruskan usaha memartabatkan seni tarian klasik melalui akademi yang ditubuhkan beliau bersama suami dan rakannya, Temple of Fine Arts. Beliau kini menjadi pengarah akademi tarian itu.
Namun, apa yang lebih membanggakan beliau apabila satu-satu cucu perempuannya kini mengikut jejak langkahnya dengan mempelajari tarian klasik India.
Dua anak lelakinya yang sulung seorang Jurutera Mekanikal serius dalam permainan gendang India dikenali sebagai Mridanggam manakala anak kedua menjadi editor di Astro.
Fakta Mengenai Losimin
Fakta Mengenai Vatsala






















