Wau Baling kini dikenali duniaOleh Norfatimah Ahmad
|
![]() |
Layang-layang lipat boleh dipasang semula kurang lima minit
SETIAP kali menyertai pertandingan di luar negara, Kasmin Mirun, 64, bersama dua lagi anaknya Izani, 32 dan Izamzuri, 26, akan pening kepala kerana terpaksa berhadapan masalah saiz wau yang besar.
Bak kata pepatah - jauh perjalanan luas pandangan. Itu jugalah yang berlaku pada tiga beranak ini apabila kreativiti peserta luar negara yang menghasilkan wau moden yang boleh dipasang siap hanya dalam beberapa minit itu menarik perhatian mereka.
Berikutan itu, mereka mencari idea menghasilkan produk yang hampir sama, tetapi tidak sama sekali mahu meniru, sebaliknya mahu menerapkan imej tradisional dan memastikan bahan asas utama dalam pembuatan wau yang boleh dilipat iaitu buluh dikekalkan supaya tidak dilihat terlalu ghairah mengejar kemodenan hingga mengetepikan yang hakiki.
Berikutan itu mereka memperkenalkan wau lipat. Menceritakan idea menghasilkan wau itu, Izani berkata, mereka mula menjalankan kajian dan meneroka idea untuk menghasilkan wau lipat menggunakan buluh dan kertas pada 1994.
“Selepas kajian demi kajian dijalankan, akhirnya kami berjaya mereka cipta wau menggunakan kain organza yang digabung dengan kertas dan buluh tiga tahun kemudian, sebelum tahun lalu menghasilkan wau yang menggunakan fabrik berasaskan nilon yang diimport, selain pencetak skrin sutera (silk screen printer) untuk memudahkan dan mempercepatkan proses mencetak corak pada wau,” katanya.
![]() |
Tambah jejaka bujang itu lagi, jika penghasilan sebuah wau mengikut cara tradisi mengambil masa dua minggu, kaedah yang diubah cipta ini dapat menyiapkan wau dalam masa tiga hari saja.
Sejak beberapa tahun lalu, kegigihan Kasmin dan anak-anaknya untuk mengkomersialkan produk kebanggaan mereka itu terserlah apabila sebuah bengkel dibina bersebelahan kediaman keluarga itu di Kampung Seberang Pekan, Baling.
Malah, untuk memberkati hasil usaha mereka selama ini, keluarga berkenaan merangka program untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung berhampiran dengan membabitkan mereka dalam proses jaringan dalam penghasilan komponen wau tradisional.
Bagi menjamin hak ciptaan wau lipat itu kekal milik mereka, Izani mendaftarkan penghasilan wau itu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Myipo) awal tahun ini untuk mengelak idea itu ‘diciplak’.
![]() |
Kini, tiga beranak ini boleh tersenyum lebar apabila penghasilan wau lipat itu mendapat perhatian Pelancongan Malaysia yang mula mengikat kontrak dengan mereka sejak 2003 untuk membekalkan wau lipat jenama Wau Baling untuk pejabat cawangannya di seluruh dunia.
Sejak dua tahun lalu, mereka juga mencuba nasib dengan memasarkan wau berukuran antara 18 inci (46 sentimeter) hingga 48 inci (122 sm) di sekitar Pasar Budaya dan seterusnya di KL Sentral yang ketika ini mendapat sambutan menggalakkan.
Suatu hari apabila sempat singgah ke kediaman keluarga itu di Baling, penulis tidak sangka komitmen mereka yang begitu tinggi untuk memperjuangkan permainan dan hasil kraf tradisional negara ini. Boleh dikatakan, di setiap sudut kediaman dua tingkat itu dihias dengan corak dan motif pada wau dengan pelbagai warna menarik.
Paling mengujakan apabila melihat hasil kesabaran anak bongsu keluarga itu, Izamzuri dengan hasil kerja tangannya sendiri apabila berjaya mengukir dan menjahit wau sebesar tujuh meter yang boleh dilipat, dipasang dan diterbangkan di tepi pantai dengan penuh gaya.
Impian Kasmin tinggi melangit
SETIAP kali orang bersorak ketika melihat perlawanan bola sepak, Kasmin Mirun selalu bertanya mengapa hanya kita menyorak mereka dan tidak sebaliknya.
Bermula daripada ketika itu, Kasmin yang kini berusia 64 tahun menekuni seni membuat layang-layang atau wau pada 1974. Tanpa mempedulikan persepsi serong sesetengah orang, daripada zaman mudanya Kasmin membuat layang-layang secara sambilan selain cuba memahami erti layang-layang.
Usahanya kini berbaloi kerana beliau bersama dua lagi anaknya, Izani, 32, dan Izamzuri, 26, kini sentiasa mendapat tepukan dan sorakan setiap kali bertanding atau memenangi pertandingan layang-layang sama ada di dalam atau luar negara.
“Sebelum ini, biasalah ada orang yang anggap bermain layang-layang hanya membuang masa,” kata pesara guru berasal dari Banting, Selangor itu, sambil diakui isteri tersayang, Azizah Mohd Noor yang juga pesara guru.
Kasmin tahu ada sesuatu yang boleh membanggakan dengan menekuni usaha membuat layang-layang, dan hasil usaha gigihnya itu dituai beberapa tahun kemudian.
Siapa sangka dengan hanya layang-layang Kasmin menjadi duta khas dan menjelajah ke serata dunia sebagai wakil negara memperkenalkan seni permainan tradisional Melayu, malah turut mendapat kepercayaan menyampaikan ceramah kepada penuntut universiti luar negara.
Manisnya pengalaman Kasmin sepanjang perjalanan kerjaya sambilannya itu apabila dua anak lelakinya itu turut mewarisi bakatnya. Lebih membanggakan apabila anak muda generasi kedua dalam keluarga itu tampil lebih kreatif apabila berjaya menghasilkan inovasi baru dalam pembuatan wau iaitu wau yang boleh dilipat.
Pelik bunyinya tapi apabila dapat melihat sendiri hasil kreativiti dua beradik ini dengan sokongan Kasmin sendiri, begitu teruja melihat kegigihan mereka mengekalkan seni kraf negara ini.
Tambah menarik apabila keluarga ini bukannya berasal dari Kelantan yang sememangnya sinonim dengan kegiatan menghasilkan wau, sebaliknya tiga beranak ini menetap di Kampung Seberang, Baling, Kedah.
Berjaya dalam pendidikan masing, Izani, lulusan arkitek dari Universiti Hull, United Kingdom, manakala Izamzuri pula lulusan kejuruteraan elektrikal Universiti Malaysia Sabah (UMS), kedua-dua jejaka ini tidak melepaskan peluang mendalami seni pembuatan wau daripada bapa mereka selepas melihat kegigihan Kasmin sejak zaman mudanya lagi.
“Tiada paksaan langsung, malah bapa tidak pernah meminta kami membantunya. Mungkin kerana sejak kecil kami melihat bapa bergelumang dengan buluh, kertas warna, gam, tali dan mengukir serta menyiapkan wau, jadi dengan sendirinya minat itu lahir dalam diri kami.
“Lebih menyeronokkan apabila bapa dapat ke luar negara untuk mempromosi seni kraftangan itu, selain menyertai pertandingan di sana,” katanya.
Info
Jenis wau
Sejarah wau
Jenis buluh
























Emel