Gambar Pilihan

Akhbar Sisipan

Klik Khas

Bursa Malaysia

Coretan Angkasawan: Mula bersekolah ketika umur tiga tahun

Bersama Dr Sheikh Muszaphar Shukor


SHEIKH Muszaphar ketika Tahun Enam di Sekolah St Paul, Seremban pada 1984.

Angkasawan negara masuk tadika kerana tidak mahu tinggal seorang diri di rumah

TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tadika dan sekolah rendah. Saya percaya ramai yang sukar melupakan zaman awal persekolahan.

Di sinilah, kita mula keluar daripada lingkungan keluarga ke dunia yang lebih luas. Naik bas sekolah atau dihantar oleh ibu bapa, mendapat kenalan baru dan belajar banyak perkara baru daripada guru. Inilah yang akan saya cerita pada minggu ini.


Dunia persekolahan saya bermula agak awal, iaitu ketika berumur tiga tahun apabila memasuki tadika montesorri di Seremban, Negeri Sembilan, kerana mengikut jejak dua abang yang sudah memasuki tadika ketika itu.

Saya tidak mahu tinggal seorang diri di rumah dan sering menangis apabila melihat abang saya memakai pakaian seragam, beg di bahu, kasut putih dan berbekalkan coklat ke kelas. Saya meraung sekuat hati hingga akhirnya ibu membenarkan saya memasuki tadika lebih awal.

Inilah memori yang ibu ceritakan kepada saya. Malangnya, tidak banyak yang saya boleh ingat suasana ketika zaman tadika.

Bagaimanapun, ada untungnya apabila bergelar angkasawan kerana baru-baru ini, seorang guru tadika, Cikgu Janet memberitahu saya bahawa dia mengajar saya di tadika itu. Terima kasih cikgu kerana masih mengingati saya hingga kini.

Saya pasti kelas montesorri sedikit sebanyak membantu dalam pembentukan minda pada peringkat awal hingga dipilih menjadi angkasawan negara.

Kisah lebih panjang yang hendak saya berkongsi dengan pembaca ialah di Sekolah St Paul, Seremban, tempat saya belajar mulai darjah satu hingga darjah enam. Di sini, banyak memori manis yang masih saya ingat.

Sebenarnya di Seremban, Sekolah King George V dianggap sebagai sekolah bertaraf tinggi atau pilihan. Di sekolah inilah, abah dan umi bersekolah. Bagaimanapun, kami adik-beradik dimasukkan ke Sekolah St Paul.

Abah mahu kami bergaul dengan pelajar berbilang kaum dan menguasai Bahasa Inggeris dengan fasih kerana Sekolah St Paul mengutamakan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

Oleh kerana tinggal di Bukit Rasah dan sekolah terletak agak jauh, ibu terpaksa menghantar kami setiap hari pada jam 7 pagi. Inilah kesungguhan ibu bapa yang sanggup menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh walaupun ada sekolah lain berdekatan untuk memastikan pendidikan terbaik untuk kami semua.

Ibu, seorang suri rumah sepenuh masa terpaksa mengharungi pelbagai kerenah kami dengan penuh kesabaran. Pada waktu petang, kami dihantar ke kelas mengaji al-Quran. Alhamdulillah, kami semua khatam al-Quran ketika berumur tujuh tahun.

Saya aktif ketika di St Paul. Saya mewakili Negeri Sembilan dalam acara renang dan muncul juara bercerita peringkat negeri. Saya juga wakil sekolah dalam pertandingan berpidato. Antara jawatan yang dipegang ialah Ketua Pengawas dan Ketua Pengakap.

Dari segi akademik, saya sering mendapat tempat lima terbaik dalam peperiksaan kerana ingin membuktikan kepada ibu bapa bahawa saya mampu menyaingi kedua-dua abang ketika itu. Kami sering membawa bekalan makanan ke sekolah dan ayah memberi 20 sen sebagai wang belanja setiap hari.

Antara kawan baik yang masih saya ingat ialah See Jin Chong dan kami sering bersaing dalam peperiksaan.

Hingga kini, saya masih mencari rakan karib saya ini. Kali terakhir saya berbual dengannya adalah kira-kira 10 tahun lalu. Ramai lagi kawan sekolah rendah saya yang hebat seperti Kamal (saya berjumpanya empat bulan lalu), Saiful Amini, Vasantha, Kelvin, Suresh, Gamel dan Nazambri. Ini hanya sekadar menyebut beberapa nama.

Guru juga tidak ketinggalan. Maurice Chai sebagai guru besar. Begitu juga guru Matematik dan Sains adalah kegemaran saya ketika itu.

Seperti dijanjikan, saya akan kembali ke Sekolah St Paul pada 27 Jun ini untuk menyuntik inspirasi kepada pelajar Paulian dengan harapan mereka bersikap positif, gigih dan berusaha ke arah kejayaan pada masa akan datang.

Dalam kesempatan terbatas ini, saya meminta semua bekas pelajar St Paul yang kini berjaya agar kembali ke pangkuan sekolah untuk berkongsi pengalaman dan menyuntik kejayaan yang dicapai kepada pelajar.

Harapan ini bukan hanya kepada bekas pelajar St Paul, tetapi setiap pelajar di mana-mana sekolah yang telah berjaya tidak boleh melupakan sekolah rendah yang menjadi asas kepada kejayaan mereka hari ini.

Kehadiran anda di sekolah akan memberi kesan yang mendalam kepada anak-anak kita. Kanak-kanak sekolah memerlukan panduan dan pedoman untuk mengharungi cabaran hidup. Oleh itu, amat penting untuk kita memainkan peranan masing-masing membimbing mereka.

Saya akan melakukan apa yang termampu supaya misi ini menjadi realiti. Terima kasih St Paul atas bimbingan anda selama ini. Insya-Allah, saya akan berjumpa anda dalam masa terdekat ini.

Solat duduk atau berdiri ikut kesesuaian tempat di ISS

SOALAN

Bolehkah Dr menceritakan lebih lanjut mengenai cara menunaikan solat di ISS. Adakah ibadat ini dilakukan secara duduk atau berdiri?

Nur Nadia Zulkarna'in,
Batu Pahat, Johor.

JAWAPAN


ISS bergerak dengan sangat pantas, iaitu pada kelajuan 27,000 kilometer sejam. Ini bermakna sehari hanya 45 minit siang dan 45 minit malam. Oleh itu, jika mengikut waktu bumi, solat perlu dilakukan sebanyak 80 kali sehari.

Bagaimanapun, hasil perbincangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama ulama dan pakar dalam pelbagai bidang di seluruh dunia berjaya menghasilkan panduan beribadah di angkasa lepas. Amat penting bagi kita, umat Islam membuktikan bahawa ibadat ini boleh dilakukan di mana-mana, bumi atau angkasa lepas.

Saya menunaikan solat lima kali sehari mengikut waktu tempat pelancaran, iaitu Kazakhstan. Untuk menentukan arah kiblat, memadai dengan menghala ke bumi. Mengambil wuduk dilakukan dengan cara tayammum, iaitu menepuk dinding sebanyak dua kali lalu menyapu muka dan kedua-dua belah tangan.

Solat dilakukan secara duduk dan berdiri mengikut kesesuaian tempat di ISS. Saya mengikat kedua belah kaki supaya tidak terapung. Bagaimanapun, tidak boleh sujud terlalu lama kerana badan mula terapung dan melonjak ke atas.

Semua ini direkodkan dan akan dikongsi bersama dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.

Cetak artikel  |  Hantar pada kawan