Gambar Pilihan

Akhbar Sisipan

Klik Khas

Bursa Malaysia

Umum siasatan video Lingam

Oleh Azman Zakaria, Norfatimah Ahmad, Magendran Rajagopal dan Nazura Ngah

Laporan kes sesuai didedahkan kepada orang ramai: Haidar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Klip Video V K Lingam, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, mengesyorkan supaya laporan hasil siasatan itu yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam, didedahkan kepada umum.

Bekas Hakim Besar Malaya itu yang menyerahkan laporan setebal 186 muka surat merangkumi empat jilid di Istana Negara kira-kira jam 9.30 pagi berkata, secara peribadi beliau berpendapat hasil siasatan itu patut diumumkan.


Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk memutuskan sama ada kandungan laporan itu sesuai untuk didedahkan kepada orang ramai.

Abdullah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi pula berkata, beliau akan meneliti kandungan laporan berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada untuk mendedahkannya kepada umum.

"Biarlah saya tengok dulu apa dia punya cakap. Ini belum tengok lagi pun kamu suruh saya buat keputusan. Saya kata saya akan lihat, saya akan baca, halusi dan teliti laporan itu," katanya ketika ditanya sama ada laporan berkenaan akan didedahkan kepada umum.

Perdana Menteri berkata, beliau belum melihat laporan itu kerana selepas mesyuarat Kabinet berakhir dan solat Jumaat, beliau terus ke ibu pejabat Umno untuk mempengerusikan mesyuarat MT.

"Saya dapat tahu daripada kamu (laporan itu diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri).

"Selepas saya membaca dan meneliti laporan itu, tentu Kabinet juga akan mengetahui kandungan laporan berkenaan," katanya.

Empat lagi anggota suruhanjaya itu - bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, turut mengiringi Haidar.

Haidar yang dihubungi Berita Harian berkata, laporan itu antara lain mengandungi empat cadangan, tetapi suruhanjaya berkenaan tidak boleh mendedahkannya.

Laporan itu sepatutnya diserahkan pada 11 Mac lalu, tetapi dua kali tertangguh kerana suruhanjaya berkenaan terpaksa meneliti lebih 1,000 bahan bukti. Tempoh penangguhan diminta berakhir hari ini.

Sementara itu, Setiausaha suruhanjaya berkenaan yang juga Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid, berkata satu salinan laporan itu turut dikemukakan kepada Perdana Menteri, pagi semalam.

"Terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mendedahkan kandungannya kepada umum," katanya ketika dihubungi.

Suruhanjaya itu ditubuhkan pada 16 November tahun lalu bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa perbualan telefon membabitkan peguam Datuk VK Lingam dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, berhubung pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

Sepanjang siasatan 17 hari antara 14 Januari hingga 15 Februari, suruhanjaya mendengar keterangan 21 saksi termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga bekas Ketua Hakim Negara.

Turut disebut dalam perbualan itu ialah nama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor; ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dan dua bekas Ketua Hakim Negara - Tun Mohamed Eusoff Chin serta Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Pakar perunding, Loh Gwo Burne yang kini Ahli Parlimen Kelana Jaya, mengaku merakamkan klip video itu di kediaman Lingam di Kelana Jaya.

Kenyataan Gwo Burne disahkan bapanya, Loh Mui Fah, yang memberi keterangan bahawa rakaman perbualan telefon itu dibuat pada 20 Disember 2001 apabila mereka berada di rumah Lingam bagi membincangkan isu perundangan membabitkan hal keluarga.

Mui Fah mendakwa, Lingam memberitahunya panggilan yang diterima itu adalah daripada Ahmad Fairuz, yang ketika itu menjadi Ketua Hakim Negara.

Bagaimanapun, Lingam menafikan pernah bercakap dengan Ahmad Fairuz dan enggan mengesahkan sama ada beliaulah orang yang dalam rakaman video terbabit.

Suruhanjaya itu antara lain ditugaskan untuk menentukan kesahihan klip video berkenaan, mengenal pasti lelaki dalam klip video dan dengan siapa dia bercakap, menentukan kebenaran kandungan perbualan itu serta memastikan sama ada wujud salah laku di kalangan mereka yang terbabit.

Suruhanjaya berkenaan juga diminta mencadangkan tindakan sewajarnya terhadap mereka yang dikenal pasti atau nama mereka disebut dalam klip video itu.

Cetak artikel  |  Hantar pada kawan