Gambar Pilihan

Akhbar Sisipan

Klik Khas

Bursa Malaysia

Kerajaan mansuh harga siling besi keluli


PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan untuk memansuhkan harga siling besi keluli di pasaran tempatan, berkuat kuasa Isnin ini.

Selain itu, pengimport pula dikecualikan daripada memperoleh lesen dan membayar duti import bahan itu, manakala pengusaha besi keluli tempatan dibenarkan mengeksport produk masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkannya dalam kenyataan media di sini, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan negara berjalan lancar.


Beliau berkata, kerajaan menerima banyak aduan berhubung masalah kenaikan harga produk besi keluli, iaitu bilet dan bar keluli.

Katanya, bekalan produk besi keluli pada harga siling yang ditetapkan kerajaan sukar diperoleh kerana harga di pasaran dunia jauh lebih tinggi daripada harga tempatan.

"Sesungguhnya masalah ini memberi kesan negatif kepada industri pembinaan dan menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan negara. Usaha liberalisasi ini selaras hasrat kerajaan memastikan pembangunan negara berjalan lancar, di samping memastikan pasaran bagi produk besi keluli lebih telus dan efisyen," katanya.

Kini, ramai kontraktor binaan mengeluh kerana harga besi di pasaran tempatan mencecah sehingga RM3,500 satu tan berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan kira-kira RM2,000 satu tan.

Perkara itu menyebabkan kontraktor perlu membayar kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding harga kawalan kerajaan yang dibuat menerusi mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) pada RM2,225 dan RM2,419 satu tan.

Kenaikan yang dialami sejak lebih setahun lalu itu menyebabkan ramai kontraktor tidak mampu membeli bahan itu untuk melaksanakan projek masing-masing.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, berikutan pemansuhan harga siling itu, kontraktor bagi projek konvensional kerajaan boleh memohon mendapatkan perubahan harga kontrak berdasarkan harga pasaran besi keluli.

Produk besi keluli yang terbabit dalam langkah itu ialah bilet 7207 11 900; 7207 12 900; 7207 19 900; 7207 20 910; dan 7207 20 990 serta bar keluli 7214 10 110 dan 7214 20 910.

Maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh diperoleh dengan menghubungi pegawai kementerian berkenaan.

Mereka ialah Datuk Kamaruddin Ismail (03-62034719/019-3587491/kama@miti.gov.my); Mohd Radhi Abdul Razak (03-62034528/017-3428266/radhi@miti.gov.my); Datuk Aziyah Bahauddin (03-88823330/019-2635252/ aziyah.bahauddin@treasury.gov.my); dan Siti Halimah Ismail (03-88823337/019-2802526/halimah.ismail@treasury. gov.my).

Pegawai lain ialah Fauziah Yaacob (03-88823223/fauziah.yaacob@treasury.gov.my); Hashmuddin Mohamad (03-88823270/hashmuddin.mohamad@treasury.gov.my); dan Ismail Ahmad (03-88825839/012-2960939/ismail@ kpdn.gov.my).

Cetak artikel  |  Hantar pada kawan