Gambar Pilihan

Akhbar Sisipan

Klik Khas

Bursa Malaysia

Pesawat sembur baja putus dua

Oleh Ravale Savarinathan


TERSADAI: Pekerja ladang sawit di Ladang Erong dekat Ulu Bernam melihat pesawat ringan Air Tractor 402 yang terputus dua (gambar kecil) selepas membuat pendaratan cemas ketika menyembur baja di ladang itu, semalam.

TELUK INTAN: Sebuah pesawat ringan putus dua ketika membuat pendaratan cemas di sungai selepas mengalami kerosakan enjin ketika menyembur baja di ladang kelapa sawit di Ladang Erong, Hulu Bernam, kira-kira 90 kilometer dari sini, semalam.

Namun, juruterbangnya, Bruce Baynes, 53, terselamat dan berjaya keluar sebelum pesawat Cessna dua tempat duduk itu tenggelam.

Ketika kejadian kira-kira 11.30 tengah hari itu, Baynes yang berasal dari New Zealand berjaya mengelak pesawatnya daripada merempuh pokok kelapa sawit sebelum mendarat di Sungai Erong, dekat Ladang Hulu Basir.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang mengesahkan kejadian itu tetapi sehingga petang semalam, beliau berkata polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, polis menerima panggilan jam 2.15 petang dan beberapa anggota polis dihantar ke tempat kejadian.

"Polis mendapati kapal terbang itu sudah putus dua dengan ekornya terbenam dalam sungai, manakala bahagian muncungnya berada kira-kira 200 meter daripada ekor.

"Kawasan berkenaan kini dijadikan kawasan larangan untuk siasatan lanjut," kata Goh ketika ditemui di sini, semalam.

Pesawat ringan itu milik Systematic Aviation Services, syarikat swasta yang mengendalikan perkhidmatan penyemburan racun dan baja untuk estet besar.

Baynes terpaksa membuat pendaratan di atas air kerana kedudukan lapangan terbang Ladang Erong agak jauh daripada tempat kejadian.

Saksi berkata, Baynes sempat memecahkan cermin tepi pesawat itu untuk menyelamatkan diri dengan berenang sebelum pesawat ringan itu tenggelam.

Baynes hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan di klinik estet berdekatan.

Beliau bekerja di negara ini sejak 2000 dan sudah melakukan beribu-ribu penerbangan termasuk menyiram baja di ladang teh Boh, Cameron Highlands dari ketinggian 1,800 meter.

Cetak artikel  |  Hantar pada kawan