KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan Isnin ini beberapa tindakan untuk mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang, terutama beras dan minyak, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, pengumuman itu akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikannya, sekali gus menggambarkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
“Selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi, satu kenyataan akan dikeluarkan... krisis kekurangan bekalan makanan kini diperkatakan di seluruh dunia.
“Kita hendak pastikan kita tidak kekurangan bekalan makanan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas MT Umno di Menara Datuk Onn, di sini, semalam.
Abdullah berkata, dalam mesyuarat khas MT itu beliau juga menjelaskan mengenai cadangan yang akan diambil kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat.
“Saya menyampaikan beberapa perkara yang diputuskan kerajaan pada masa ini khususnya dengan tertubuh Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi dan tindakan yang akan diambil apabila keputusan yang dibuat itu diperhalusi.
“Pada Isnin ini apabila Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi bermesyuarat, semua itu akan diperhalusi dan disahkan atas arahan Kabinet,” katanya.
Beliau berkata, subsidi ditanggung kerajaan kini mencecah RM45 bilion akibat kenaikan harga barang dan minyak.
Abdullah berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed juga memaklumkan kepada MT Umno mengenai lawatannya ke Thailand baru-baru ini dan menyampaikan cadangan Malaysia mahu membeli beras dari negara itu.
Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menambah import beras dari Thailand bagi meningkatkan stok penimbal bahan makanan itu, manakala negara jiran berkenaan pula dilaporkan bersedia memenuhi permintaan Malaysia membeli 500,000 tan beras dengan penghantaran segera antara 100,000 dan 250,000 tan.