Shah Alam: Draf Pelan Strategik Dakwah Selangor yang dirangka Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini sudah di peringkat akhir penggubalan, kata Pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin.

Beliau berkata, draf berkenaan mempunyai 10 strategi untuk menangani isu membabitkan akidah, bukan sekadar memberi penekanan kepada masyarakat Islam semata-mata.
Katanya, selepas isu membabitkan serbuan JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Ogos tahun lalu, jabatan itu menubuhkan jawatankuasa memperkasakan akidah dan menangani isu kristianisasi.


“Draf ini untuk pelan strategik bagi 2013 hingga 2017 dan ia akan membabitkan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. Ia cara kita menangani isu dakyah Kristian dan bagaimana mahu menerangkan kepada masyarakat bukan Islam mengenai Islam supaya mereka lebih jelas.

“Apabila diluluskan nanti, ia akan menjadi panduan untuk semua pihak terutama institusi agama dan NGO,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Tanggungjawab Masyarakat dalam Menangani Jenayah Syariah, di sini semalam.