KUANTAN: Sikap keluarga yang kurang mengambil berat perihal anak-anak dilihat antara punca utama hampir 1,200 pelajar di Pahang dikesan ponteng sekolah dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin, berkata jumlah itu adalah 0.46 peratus daripada 250,000 pelajar di negeri itu.
Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menarik minat pelajar ke sekolah, selain memberi kaunseling dan motivasi kepada pelajar terbabit.

"Setiap daerah di Pahang juga mempunyai Skuad Anti Ponteng bagi memantau masalah ponteng di kalangan pelajar," katanya kepada pemberita pada majlis Inovasi Jabatan Pelajaran Pahang, di sini, hari ini.

Yahya berkata, skuad itu dianggotai guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

"Mereka akan bertindak mengesan, menghubungi dan berjumpa dengan keluarga pelajar yang didapati ponteng ke sekolah," katanya.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan itu diharap dapat menyelesaikan permasalah itu selain mencapai sasaran sifar pelajar ponteng di Pahang. - BERNAMA