Laman Utama » MutakhirSarawak

Hanya SPR keluar keputusan rasmi: Pengerusi SPR



2011/04/16
Share |
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan keputusan pengundian untuk sesetengah kawasan yang diedarkan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak tengah hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata hanya keputusan yang dikeluarkan oleh SPR sahaja sah iaitu berdasarkan kepada maklumat yang telah diberi oleh setiap 71 pegawai pengurus pilihan raya yang telah dilantik. "Saya telah dimaklumkan banyak sebaran dalam SMS, internet mengatakan parti tertentu telah menang pilihan raya di kawasan masing-masing. Ini maklumat tidak boleh dipercayai, hanya sumber daripada SPR sahaja yang sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Abdul Aziz berkata hampir dua pertiga atau 1,038 pusat pengundi telah pun ditutup setakat jam 1 tengah hari ini dan kebanyakannya adalah di kawasan pedalaman dan luar bandar. Katanya, walaupun kawasan terbabit telah ditutup awal iaitu seawal jam 9 pagi namun proses pengiraan undi hanya boleh dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari ini. Dalam pada itu, beliau berkata SPR yakin jumlah yang keluar mengundi selepas waktu tengah hari ini bagi semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka melepasi 50 peratus.

"Sehingga jam 1 petang tadi, saya telah dapat maklumat daripada 11 DUN menunjukkan 43 peratus pengundi telah tunai tanggungjawab mereka, ini menunjukkan 10 peratus sejam mewakili juga bahagian lain," katanya.

Beliau berkata mereka yang belum berpeluang untuk pergi ke pusat pengundian dinasihatkan datang awal ke tempat yang telah ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mengundi undi.

Sementara itu di SIBU, jumlah pengundi yang agak besar dilaporkan keluar mengundi pagi ini sebaik sahaja pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.
Namun begitu mereka yang berada di beberapa pusat pengundian telah berkurangan di sebelah tengah hari sungguhpun masih ramai pengundi dilihat berjalan menuju ke pusat pengundian.

Di Bukit Assek, kerusi majoriti pengundi Cina di sini, peratusan keluar mengundi adalah 49 peratus di semua 12 pusat mengundi sehingga pukul 1 tengah hari, demikian menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hii Chang Kee.

Di kawasan berhampiran, kerusi Pelawan yang merupakan kerusi majoriti Cina, peratus keluar mengundi dilaporkan sebanyak 40.34 peratus manakala kerusi Bawang Assan, sejumlah 48 peratus setakat pukul 1 tengah hari.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wong See Meng berkata sembilan pusat mengundi di kawasan separuh luar bandar telah ditutup pada pukul 1 dan pengiraan undi sudah dimulakan. Bagi kerusi sub-bandar Dudong, peratusan keluar mengundi adalah 53.04 peratus setakat pukul 1 tengah hari.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Morshidi Frederick berkata 14 pusat mengundi akan ditutup pada pukul 3 petang manakala yang lain akan ditutup secara berperingkat dengan yang terakhir ditutup 5 petang.

Bagi kerusi Nangka, 37.68 peratus pengundi dilaporkan telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat pukul 1 tengah hari.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Nangka, Mohd Said Atoi berkata terdapat sembilan pusat mengundi kebanyakannya pengundi Melayu/Melanau.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden yang menjejaskan proses pengundian.

Proses di semua saluran mengundi berjalan lancar, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini.

Beliau berkata anggota polis yang bertugas di seluruh negeri ini dapat menjalankan tugas dengan baik secara profesional, tegas dan adil. - BERNAMA
Artikel Lain