20 pelajar     asrama penuh dibuang jentik dahi junior WARIS pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu tunjukkan surat pemberhentian yang dihantar kepada mereka, semalam.
BUKIT KAYU HITAM: Seramai 20 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, di sini dibuang sekolah berkuat kuasa Khamis lalu selepas didapati bersalah membuli dengan menjentik dahi seorang pelajar Tingkatan Empat beramai-ramai pada 25 Februari lalu.

Mereka diarahkan pulang pada petang hari kejadian, sebelum pihak sekolah mengambil keputusan membuang semua pelajar terbabit selepas mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Khamis lalu.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdullah Saat, berkata pelajar terbabit boleh mengemukakan rayuan melalui Bahagian Pendaftar Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dalam tempoh sebulan.

“Bagaimanapun dalam kes ini, ia akan dirujuk kepada Kementerian Pelajaran kerana ia berstatus sekolah asrama penuh. Jika sekolah biasa cukup sekadar Jabatan Pelajaran Negeri (membuat keputusan). Namun, keputusan membuang pelajar atas kesalahan disiplin adalah hak sekolah selepas meneliti kesalahan itu adalah berat dan mengikut peraturan yang ditetapkan,” kata ketika dihubungi.

Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan tidak puas hati ibu bapa dan penjaga yang menyifatkan ia terlalu drastik dan tidak dimaklumkan kepada mereka terlebih dulu hingga boleh menjejaskan persiapan anak mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Oktober ini.

Walaupun mengakui perlakuan itu melanggar disiplin, mereka beranggapan pihak sekolah sepatutnya memberi peluang kedua kerana ia membabitkan masa depan pelajar terbabit.

Seorang bapa, Jasni Mohd Noor, 44, berkata pihak sekolah seharusnya memberi peluang kepada semua pelajar dan mengenakan hukuman lain yang tidak membabitkan tindakan buang sekolah kerana ia boleh menjejaskan persediaan mereka menghadapi peperiksaan SPM nanti.
Bekas guru itu berkata, pihak sekolah juga tidak memaklumkan kepada penjaga mengenai tindakan itu dan hanya mengarahkan anak mereka keluar dari asrama pada 25 Februari lalu.

“Saya tahu anak saya bersalah, tetapi jika boleh berilah mereka peluang sebab sukar bagi kami untuk mencari sekolah yang sesuai kerana mereka sudah memasuki aliran Sains Teknikal sejak Tingkatan Empat. Mereka akan menghadapi masalah jika bertukar ke sekolah lain yang kebanyakannya tidak mempunyai aliran itu. Saya bimbang mereka tidak dapat memberi tumpuan,” katanya semalam.

Seorang lagi bapa, Mohd Azami Abdul Majid, 45, berkata pihak sekolah sepatutnya boleh bertolak ansur daripada mengambil tindakan yang terlalu keras.

Beliau mendakwa hanya mengetahui tindakan itu melalui surat yang dihantar menerusi pos laju ke rumahnya oleh pihak sekolah pada Ahad lalu.

“Tiada laporan polis dibuat dan tiada sebarang laporan doktor berhubung kejadian itu. Selain itu, sekolah tidak memaklumkan kepada ibu bapa apabila pelajar terbabit diarahkan keluar asrama, sebaliknya hanya dihubungi anak sendiri,” katanya.