KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan ARL Global Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Razak Abdul Latiff, hari ini mengetuai 225 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini.

Beliau adalah antara penerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri yang disenaraikan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Jun lalu.
Pada istiadat penganugerahan yang diadakan hari ini, empat lagi penerima PSM ialah Pengarah Urusan Titijaya Group of Companies Selangor, Tan Sri Lim Soon Peng; Pengerusi Bell Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Low Boon Eng; Pemegang Amanah Yayasan, Lau Gek Poh Tan Sri Lau Yu Chak dan Presiden Samling Strategic Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Yaw Teck Seng.


Empat penerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh; Ketua Jabatan Kanan dan Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Ghazali T V Ahmad Kutty dan Pengurus Rimbunan Hijau Group, Datuk Goh Ah Bah.

Enam penerima Johan Mangku Negara (JMN), 13 penerima Johan Setia Mahkota (JSM), 69 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN), 78 penerima Ahli Mangku Negara (AMN) dan 50 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN). - BERNAMA