PENDANG: Seramai 29 orang murid dari sebuah sekolah kebangsaan di Sungai Tiang, Kedah mengalami keracunan makanan setelah makan nasi lemak disediakan kantin sekolah terbabit di bawah Rancangan Makanan Tambahan pagi tadi.

Mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Tiang bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Seorang murid, Muhamad Faiz Hafiz Mohd Noor, 12, berkata dia terpaksa berulang-alik ke tandas sebanyak lapan kali kerana mengalami sakit perut dan cirit-birit berlarutan selepas makan nasi lemak itu.

"Saya juga muntah lima kali serta pening kepala sehingga saya tidak tahan dan memaklumkannya kepada cikgu supaya dibawa ke klinik," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Faiz Hafiz berkata, dia terasa kuah sambal dalam nasi lemak itu masam dan pedas namun tidak mengesyaki sebarang perkara tidak baik.

Seorang lagi murid Muhamad Izzat Zakri, 11, pula berkata, dia turut mengalami cirit-birit dan muntah serta badannya berasa panas selepas makan nasi lemak berkenaan.

Muhamad Izzat berkata, hari ini pertama kali pihak kantin sekolah itu menyediakan nasi lemak dan sebelum ini tidak ada sebarang masalah yang timbul daripada menu yang disediakan.
Jurucakap Klinik Kesihatan Sungai Tiang ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata berdasarkan pemeriksaan kesihatan, keadaan kesihatan murid-murid itu stabil.

"Tahap keracunan makanan yang dialami murid-murid ini tidak serius sehingga perlu dibawa ke hospital," katanya.

Pengurusan sekolah berkenaan enggan mengulas ketika dihubungi. - BERNAMA