3 pemimpin Abu Sayyaf, JI tumpas SENARAI pemisah Islam yang dikehendaki kerajaan berserta ganjaran yang ditawarkan untuk menangkap mereka.
Warga Malaysia turut maut serangan tentera

MANILA: Tentera Filipina mendakwa pihaknya berjaya membunuh tiga pemimpin kanan pertubuhan militan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dalam serangan udara di sebuah pulau di wilayah selatan semalam.
Panglima tentera, Mejar Jeneral Noel Coballes, berkata tiga daripada mereka antara 15 militan yang terbunuh di Jolo, kawasan hutan tempat ahli Abu Sayyaf disyaki menahan rakyat asing sebagai tebusan.

“Tentera kami di kawasan terbabit mengesahkan kematian 15 ahli Abu Sayyaf dan JI termasuk Zulkifli Abdul Hir alias Marwan (gambar kecil), Mohammad Ali alias Muawiyah dan pemimpin Abu Sayyaf, Abu Pula,” katanya.

Zulkifli antara pemimpin JI Malaysia, pertubuhan militan yang dikaitkan dengan serangan ganas di Asia Tenggara termasuk pengeboman di Bali pada 2002 yang membunuh lebih 200 orang.

Kerajaan Amerika Syarikat dilaporkan menawarkan $5 juta sebagai ganjaran bagi penangkapan Zulkifli.

“Muawiyah yang turut mempunyai banyak nama ialah ahli JI Singapura yang melarikan diri ke Filipina selepas pengeboman di Bali,” kata pegawai risikan tentera Filipina.
Abu Pula, seorang rakyat Filipina ialah pengasas dan antara tokoh kanan kumpulan Abu Sayyaf yang ditubuhkan di selatan negara itu pada 1990-an dengan mendapat bantuan daripada rangkaian Al-Qaeda di bawah Osama bin Laden.

Abu Sayyaf disalahkan dalam serangan pengganas terburuk di Filipina termasuk pengeboman feri di Manila yang membunuh lebih 100 orang selain siri penculikan di kawasan pedalaman serta selatan yang didiami penduduk Islam. – AFP