gambar sebelum  gambar berikut
Foto

IMEJ televisyen Russia menunjukkan keadaan pesawat RusAir selepas kejadian kemalangan di Petrozavodsk, semalam.

Kapal terbang milik RusAir dipercayai gagal dikawal ketika kabus tebal

ST PETERSBURG: Sebuah pesawat penumpang terhempas dalam kabus tebal lewat kelmarin di lebuh raya barat laut Russia membunuh 44 orang, kata pegawai rasmi. Lapan orang terselamat dalam kemalangan itu.

Pesawat Tu-134 milik syarikat penerbangan RusAir, dalam perjalanan dari Moscow ke bandar Petrozavodsk, jurucakap Kementerian Kecemasan, Olga Semyonova memberitahu Associated Press.
Seramai 44 orang terbunuh dalam nahas itu, manakala lapan terselamat termasuk kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Semua mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal di hospital Petrozavodsk.

Semyonova berkata pesawat itu terhempas kira-kira satu kilometer dari landasan ketika mahu mendarat di lapangan terbang Petrozavodsk.

Masih tidak jelas sama ada pesawat itu cuba mendarat di jalan atau terhempas di tempat itu, katanya.

Petrozavodsk terletak di wilayah Karelia berdekatan sempadan Finland, kira-kira 400 kilometer barat laut Moscow.

Pihak berkuasa tidak memberi penjelasan terkini mengenai kejadian itu tetapi agensi berita Interfax memetik pengarah lapangan terbang Alexei Kuzmitsky sebagai berkata ‘terdapat keadaan cuaca yang tidak baik’.
Agensi berita Russia itu melaporkan ada juga masalah dengan lampu di landasan.

Gambar dalam laman web kementerian menunjukkan serpihan logam berterabur di jalan dengan kabus tebal menyelubungi hutan di belakang tempat kejadian.
Pesawat itu membawa 52 orang termasuk sembilan anggota krew, kata Semyonova. – AP