Laman Utama » Sarawak

4 YB wanita azam balas budi penyokong



2011/04/18
Share |
DARI atas kiri,  Fatimah Abdullah,  Sharifah Hasidah, bawah kiri,  Simoi Peri dan  Rosey Yunus.
DARI atas kiri, Fatimah Abdullah, Sharifah Hasidah, bawah kiri, Simoi Peri dan Rosey Yunus.
KUCHING: Semua empat calon wanita Barisan Nasional (BN) yang menang kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri ke-10 kelmarin, berazam membalas kepercayaan diberikan rakyat dengan terus bekerja keras untuk membangunkan Sarawak dan mendengar segala rintihan masyarakat.

Datin Fatimah Abdullah (Dalat), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Semariang), Simoi Peri (Lingga) dan Rosey Yunus (Bekenu) adalah antara tujuh daripada 16 calon wanita yang berjaya menempah tempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Sharifah Hasidah berkata, kejayaan itu menunjukkan rakyat dapat menilai prestasi BN, selain membuktikan wanita juga mampu memberi khidmat baik setanding wakil rakyat lelaki. "Saya akan terus berkhidmat di Samariang sebaik mungkin dan menyelesaikan masalah kawasan ini, selain meneruskan agenda yang digariskan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Simoi berkata, beliau akan meneruskan perjuangan dan pembangunan yang direncanakan secara berperingkat di kawasannya, manakala Rosey pula memberi jaminan mengenal pasti kawasan yang masih kekurangan kemudahan untuk dibantu secepat mungkin.

Selain BN, wakil wanita dalam DUN Sarawak turut disertai tiga wakil DAP, iaitu Violet Yong dan Ting Tze Fui yang masing-masing mempertahankan kerusi Pending dan Meradong serta muka baru, Christina Chiew yang berjaya merampas Batu Kawah daripada BN.

Chiew, 27, yang berkelulusan sarjana biokimia dan melakukan kejutan besar apabila mengalahkan penyandang kerusi itu daripada BN, Tan Joo Phoi, bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, mengakui terkejut dengan sokongan diberikan pengundi di Batu Kawah.
Baki calon wanita yang menerima keputusan mengecewakan ialah Ibi anak Uding (Balai Ringin), Suriati Abdullah (Balingian) dan Zolhaidah Suboh (Lambir) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama wakil PAS, Nani Sohari (Tanjung Datu) dan Noraini Hamzah (Muara Tuang).

Calon tunggal wanita Parti Cinta Malaysia (PCM), Dayang Juliana Awang Tampi dan calon Bebas, Soo Lina masing-masing menerima nasib sama di Bekenu dan Batu Lintang, manakala seorang lagi calon DAP, Alice Lau Kiong tewas di Bawang Assan.

Artikel Lain