5,000 peminat serbu    Village Mall Artis membuat persembahan pada siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 di Sungai Petani.
Sungai Petani: Seawal jam 10 pagi, peminat mula memenuhi ruang legar pusat beli-belah Village Mall untuk menyaksikan siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, di sini, semalam.

Seperti tahun lalu, pusat beli-belah ini sesak dengan kehadiran lebih 5,000 peminat yang mahu melihat lebih dekat calon top 5 ABPBH 2012.
Artis finalis ABPBH 2012 yang hadir ialah Fara Fauzana, Didie Alias, DJ Lin, AG Hot FM, Enot, Shah Iskandar, Yana Samsudin, Aiman Hakim Ridza, Emma Maembong, Aweera dari Mojo, Johan As'ari dan Ainan Tasneem.


Turut hadir, Along Cham, Awi Rafael, Stellar Band dan Juara Bintang Idola BH tahun lalu, Liawanis.

Acara ini dihoskan Along dengan dibantu Fara, Didie dan AG. Selain berpeluang bermesra dengan artis di atas pentas, pengunjung turut menerima cenderahati BH.

Sesi ramah mesra

Selain persembahan artis, cabutan bertuah, gerai BH yang menjual akhbar BH termasuk buku cenderamata ulang tahun ke-25 ABPBH turut dibuka termasuk penaja ABPBH 2012 seperti Avon Cosmetics dan Habib Jewels. Malah, turut disediakan ruang untuk peminat bergambar bersama artis.
Paling istimewa, pemenang segmen peraduan ketika acara berlangsung dibawa menaiki kereta Nissan Almera yang ditaja Edaran Tan Chong Motor.

Terdahulu, Yana dan Shah juga diundang sesi ramah mesra dengan peminat di butik Habib yang beroperasi di Central Square sekitar jam 11.30 pagi. Turut hadir Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.