PUTRAJAYA: Seramai 70,000 orang yang majoritinya terdiri daripada golongan belia mengambil bahagian dalam kempen 'Nak Sihat' di seluruh negara hari ini kecuali Johor, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Kempen itu yang memasuki tahun keempat penganjurannya bertujuan untuk
meningkatkan kesedaran dan pengetahuan golongan belia tentang kepentingan melakukan aktiviti fizikal, memupuk sikap positif terhadap amalan aktiviti fizikal dan membudayakan aktiviti fizikal sebagai amalan kehidupan seharian.


Beliau berkata, kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan
aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan rakyat.

"Ia kerana kajian menunjukkan purata setiap rakyat melakukan aktiviti senaman dan fizikal termasuk aktiviti berintensiti tinggi kurang daripada 20 minit sehari berbanding yang digalakkan 30 minit sehari," katanya pada sidang
media selepas melancarkan Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka
di Dataran Wawasan Presint 2 di sini yang disertai 5,000 orang.
Dr Subramaniam berkata, kementerian itu menekankan cara hidup sihat di
kalangan rakyat kerana masalah berat badan berlebihan di kalangan rakyat negara
ini mencecah 29.4 peratus dan obesiti pula sebanyak 15.1 peratus yang merupakan
ancaman besar kepada kesihatan.

"Ini bermaksud hampir 8.5 juta rakyat Malaysia mengalami lebihan berat badan
dan hampir 4.4 juta adalah obes. Di mana satu daripada tiga orang dewasa di negara ini adalah obes atau berlebihan berat badan.

"Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari setahun ke setahun jika tiada
usaha yang dilakukan untuk mengurangkannya.

"Cara kehidupan orang muda sudah berbeza dalam dunia ICT kini. Mereka kurang
melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan
media sosial sejak pagi hingga malam.

"Ia sudah menjadi budaya belia sekarang, walaupun ia meningkatkan komunikasi
sosial tetapi ianya tidak boleh mengenepikan keperluan kehidupan yang aktif.
Kalau tak aktif bermakna tak sihat. Justeru kita perlu mengingatkan generasi
muda," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan lebih banyak kemudahan riadah dan
bersukan disediakan di kawasan perumahan terutamanya di taman perumahan dan
pangsapuri supaya rakyat menjadikan amalan bersukan sebagai budaya aktiviti
harian.

Jelasnya, kempen berjalan 10,000 langkah sehari yang merupakan aktiviti
intensiti rendah dan sesuai dilakukan oleh semua peringkat umur, kini sedang
mendapat sambutan baik.

Katanya, dianggarkan berjalan 10,000 langkah adalah bersamaan berjalan tujuh kilometer dan membakar 385 kalori. - BERNAMA