7 fokus untuk berjaya Najib ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Putrajaya: Penjawat awam diminta memberi tumpuan kepada tujuh keutamaan bagi memastikan Bajet 2013 dilaksanakan dengan cekap dan lancar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata walaupun negara mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan dan diiktiraf dunia, penjawat awam tidak boleh leka atau rasa selesa, malah perlu melipat ganda usaha menjadikan tahun ini lebih berjaya dan cemerlang.
Beliau berkata, ini selaras hala tuju agenda transformasi negara yang harus memberi kesan dan kepuasan kepada rakyat serta menepati tema bajet iaitu. Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati.


Tujuh tumpuan utama itu ialah;

  • Memastikan perpaduan dan jati diri nasional diperkukuhkan.
  • Melaksanakan Bajet 2013 dengan lancar mengikut jadual.
  • Agenda GTP beri kesan dan kepuasan kepada rakyat selain suntikan pertumbuhan ekonomi negara.
  • Penambahan hasil kekayaan negara diagih secara adil dan saksama kepada rakyat.
  • Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksana sepenuhnya.
  • Perkhidmatan cepat, tepat dan berintegriti selain pemikiran kreatif lagi inovatif.
  • KPI menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya.


Najib berkata, aspek pertama yang perlu dipenuhi penjawat awam ialah memastikan perpaduan dan jati diri nasional terus diperkukuh berpaksikan gagasan 1Malaysia supaya setiap rakyat percaya kerajaan sedia ada adil, saksama dan bersifat inklusif.

Segala ketetapan dalam Bajet 2013 harus dilaksanakan mengikut jadual seperti bantuan persekolahan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya semua perancangan lancar serta berkesan.
Agenda transformasi negara dimulakan berdasarkan GTP (Program Transformasi Kerajaan), melalui NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), ETP (Program Transformasi Ekonomi), EPP (Projek Permulaan) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) serta semua berkaitan agenda transformasi nasional mesti kita beri tumpuan sepanjang 2013.

Agenda terbabit terbukti berjaya, memberi kesan dan kepuasan kepada rakyat serta memberi suntikan besar kepada pertumbuhan ekonomi, katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Beliau berkata, pertumbuhan baik ekonomi negara yang berterusan menuntut kepada pengurusan yang baik supaya pengagihan kekayaan kepada rakyat dapat dijamin berasaskan keadilan sosial.

Beliau berkata, program yang diputuskan di bawah NBOS seperti 1Malaysia For Youth (1M4U), Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pelbagai program membabitkan kepentingan rakyat hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

Tahun ini, banyak inisiatif baru akan kita lancarkan termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) yang akan dibentangkan secara muktamad dan ini juga akan memberi kesan besar kepada negara kita dari segi pembangunan modal insan, katanya.

Beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi semua menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya selain penjawat awam mesti meneruskan usaha penambahbaikan berdasarkan tiga aspek iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti selain berfikiran kreatif, inovatif dan menekankan produktiviti.