KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Julai ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam satu kenyataan hari ini berkata Ahmad Phesal, 58, menggantikan Tan Sri Ahmad Fuad Ismail yang tamat tempoh kontraknya pada 15 Julai depan.
Katanya Ahmad Phesal yang telah berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran, pembangunan, dan perancangan wilayah serta pergurusan kerajaan tempatan sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada 2007.


"Semasa memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian, beliau terlibat secara langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur seperti 'Greater Kuala Lumpur/Klang Valley, River of Life' serta program-program pembangunan lain di ibu kota, (dan) ini akan memudahkan beliau menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya.

Ahmad Phesal menyertai perkhidmatan awam pada 1977, dan antara jawatan yang pernah disandangnya ialah penolong pengarah dan ketua penolong pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan setiausaha Majlis Perbandaran Labuan.

Ahmad Phesal berkelulusan Sarjana Perancangan Bandar dan Wilayah daripada Universiti Wisconsin dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Antropologi dan Sosiologi daripada Universiti Malaya. - BERNAMA