KUALA LUMPUR: Akhbar pembangkang, Suara Keadilan, Harakah dan Roket akan ditangguhkan penerbitannya sementara waktu sehingga wakil pembangkang bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membincangkan isu permit akhbar berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP setakat ini sudah menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar berkenaan.
"Buat sementara waktu, lidah rasmi parti sama ada Suara Keadilan, Harakah dan Roket ditangguhkan penerbitannya dan keputusan ini akan dikaji semula minggu depan bagi membolehkan kita bertemu Hishammuddin," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Sebelum ini, KDN menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk mengenai FELDA.

PAS turut menerima surat tunjuk sebab daripada KDN berhubung permit yang tamat tempoh pada 7 Julai lalu, kelewatan menghantar salinan keluaran dan menjual akhbar kepada bukan ahli.

Sementara itu, DAP menerima dua surat tunjuk sebab bagi akhbar Roket edisi Bahasa Inggeris dan Cina yang tempoh permit penerbitannya masing-masing tamat pada 30 Jun lalu dan 30 November tahun lalu.