Al-Quran lengkap tanda berhenti Rauf bersama bapanya Hassan menunjukkan al-Quran dihasilkan dengan panduan waqaf dan ibtiqa’ dengan betul.
Pensyarah perkenal kaedah baca kalamullah

Saya minum susu. Kambing dalam cawan. Inilah akibatnya jika tidak tahu di mana
hendak berhenti dan memulakan ayat. Ayat sebenarnya ialah ‘saya minum susu kambing dalam cawan’. Akhirnya, ayat itu tergantung atau tidak menyampaikan maksud sebenarnya. Sama jugalah apabila kita salah berhenti ketika membaca ayat al-Quran hingga mengubah makna ayat. Lebih bahaya jika ayat itu membabitkan iktikad dan jika dibaca salah maknanya boleh jadi haram serta merosakkan iktikad. Contohnya, ayat ‘Masih anak Allah’, tidak boleh berhenti di situ.



Oleh itu, selain mengetahui cara membaca dengan hukum tajwid yang betul, umat Islam perlu berhati-hati dengan tempat berhenti (waqaf) dan hendak memulakan ayat (ibtida’) apabila membaca ayat suci al-Quran.

Pentingnya ilmu waqaf ini mencetuskan idea kepada pensyarah Jabatan Bahasa Asing Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Rauf Tan Sri Hassan, menghasilkan Al-Quran Al-Karim Dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’.

“Dulu saya pernah lihat al-Quran kakak saya, Mastura, ada tanda kurungan pada ayat tertentu yang membawa maksud tempat berhenti dan di mana dia hendak memulakan ayat. Itu cara beliau memastikan tidak melakukan kesilapan ketika berhenti dan dari mana pula hendak mula.
“Oleh itu, saya terfikir alangkah baiknya jika ada al-Quran mempunyai tanda tempat berhenti dan memulakan bacaan. Al-Quran sedia ada memang mempunyai tanda berhenti, tetapi pada ayat panjang, ia menyukarkan mereka yang bernafas pendek.

“Itu juga antara sebabnya mendorong saya menghasilkan al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtida’. Tambahan, kebanyakan umat Islam tidak fasih berbahasa Arab dan mengetahui makna perkataan Bahasa Arab.

“Cuma tiga tahun lalu, perkara itu mendapat perhatian serius dan saya mula memikirkan kaedah terbaik menghasilkan al-Quran yang mempunyai tanda tempat berhenti serta memulakan bacaan,” katanya.

Warna kepada ayat sesuai waqaf

Pendekatan terbaik difikirkan ialah dengan memberi warna kepada ayat sesuai untuk berhenti membaca dan ayat sesuai memulakan semula bacaan. Beliau melakukan percubaan pada 20 ayat dalam surah al-Baqarah.

Warna merah menunjukkan boleh berhenti pada akhir ayat dan memulakan bacaan pada awal ayat berwarna merah. Warna hijau adalah perhentian kedua dan bagi yang nafas panjang boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna hijau, memulakan bacaan pada awal perkataan berwarna hijau.

Warna biru pula, boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna biru dan memulakan bacaan pada perkataan selepasnya. Ketiga-tiga warna itu menjadi petunjuk kepada pembaca supaya memberhentikan bacaan di tempat yang betul.

Selepas itu, hasilnya ditunjukkan kepada beberapa rakan yang teruja dengan kaedah itu serta mengalu-alukan penghasilan al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtiqa’. Hanya selepas yakin, barulah ditunjukkan kepada ayahandanya, tokoh ilmu al-Quran terkemuka, Tan Sri Hassan Azhari.

Hassan yang turut hadir pada sesi pertemuan itu memberitahu, awalnya beliau menentang hasrat anaknya itu dengan alasan tidak akan mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagaimanapun, selepas diterangkan bahawa warna digunakan untuk menunjukkan tempat berhenti dan memulakan bacaan itu tidak akan menjejaskan langsung tulisan huruf al-Quran, barulah cadangan dikemukakan anak bongsunya dipersetujui.

Hassan jadi rujukan

Malah, Hassan yang menjadi tempat rujukan memberi sepenuh komitmen membantu merealisasikan penghasilan al-Quran waqaf dan ibtida’ kerana sebagai salah satu cabang ilmu al-Quran, ia boleh dikatakan yang paling sukar dikuasai.

“Orang belajar mengaji akan tanya nak berhenti dan ambil dari mana. Hendak jawab secara spontan pun susah juga. Malah, hakim tilawah ramai yang tidak mahu jadi hakim waqaf ibtida’,” katanya yang berpengalaman selama 52 tahun sebagai hakim tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.