Anak si mati berhak dapat agihan adil harta pusaka BH Online

Anak si mati berhak dapat agihan adil harta pusaka

2011/04/22

Waris perlu jujur pastikan semua zuriat terima bahagian masing-masing ikut sistem faraid

MINGGU ini kita akan membincangkan hak anak terhadap harta pusaka si mati, setelah dua siri membincangkan hak isteri iaitu harta sepencarian dan harta pusaka si mati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, akan terputus segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya.”

Sedekah jariah adalah pemberian bermanfaat dan yang baik. Paling utama adalah memberi sesuatu yang menjadi kesayangan kita atau setaraf dengannya.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)
Harta pusaka si mati, bahagian anak sudah dibincangkan secara terang oleh Allah dalam firmannya dan dibincangkan Rasulullah SAW dalam hadisnya.

Pembahagian harta pusaka bagi anak perempuan (jika seorang saja) bahagian adalah 1/2 dari harta pusaka. Jika si mati ada mempunyai dua orang atau lebih anak perempuan, maka hak mereka adalah 2/3 dan dibahagi sama rata antara mereka.

Apabila si mati mempunyai seorang anak lelaki atau lebih, maka ia akan ditaksibkan kepada dua bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian untuk anak perempuan.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, dengan sebab Allah sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)

Ayat ini menerangkan mengapa wujudnya perbezaan antara anak perempuan dan lelaki dalam pembahagian harta pusaka Islam melalui sistem faraid.

Anak lelaki adalah ahli waris yang asabah iaitu ahli waris yang tidak disebutkan banyaknya bahagian mereka dalam al-Quran dan Sunnah dengan tegas. Contoh, anak lelaki ialah ‘asabah kerana berapa banyak bahagiannya tidak ditentukan al-Quran.

Pengertian ‘asabah di kalangan ulama faraidh ialah orang yang membolot atau menghabiskan seluruh baki harta warisan setelah ashabul furudh menerima dan mengambil bahagian masing-masing, memandangkan tiada nas yang menetapkan.

Jadi tiada bahagian yang tetap untuk anak lelaki. Kemungkinan mereka tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta pusaka jika tiada baki harta setelah diambil oleh ashabul furudh.

Anak adalah amanah Allah dan mereka tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik dan memberikan mereka keperluan asas. Tuntutan Islam adalah berlaku adil terhadap anak seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Takut akan Allah dan berlaku adil terhadap anakmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keadilan terhadap anak dipandang serius dalam Islam. Begitu juga dalam sistem pewarisan, Allah tentukan senarai penerima harta pusaka iaitu anak perempuan dan anak lelaki tersenarai sebagai waris yang berhak.

Jika si mati sepanjang hayatnya hanya mengahwini seorang isteri dan mempunyai anak, pembahagian harta pusaka bagi anak adalah lebih mudah.

Tetapi bagi suami yang berpoligami dan mempunyai anak dari perkahwinan lain, perlu mengambil inisiatif menyenaraikan semua nama anak sebagai waris berhak ke atas harta pusakanya. Terutama bagi kes anak yang ditinggalkan kerana perceraian terdahulu.

Jika diketahui ayah atau suami mempunyai perkahwinan melebihi satu, adalah diharapkan semua waris berhak terutama anak si mati disenaraikan sebagai penerima harta pusaka.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakinya di antara hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba', ayat 39)

Umum perlu sedar situasi isteri yang diceraikan dan anak ditinggalkan kerana perceraian adalah berbeza. Isteri yang diceraikan tidak berhak ke atas harta pusaka tetapi anak ditinggalkan kerana perceraian berhak ke atas harta pusaka ayah mereka yang sudah meninggal dunia.

Oleh itu, sebagai saudara Islam, kita perlu menjadi seorang yang jujur bila tiba keadaan ini dan tidak bertindak atas kepentingan diri.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, sesungguhnya antara isterimu dan anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hati kamu terhadap mereka dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anakmu hanya cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun, ayat 14-15)

Sijil faraid diperlukan jika waris berhasrat untuk melantik AmanahRaya sebagai pentadbir harta pusaka. Ini bagi mengelakkan konflik dan memastikan semua waris berhak akan dapat menerima harta pusaka si mati.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian AmanahRaya atau datang ke cawangan terdekat AmanahRaya seluruh Malaysia atau layari laman web www.amanahraya.com.my.