Konglomerat miliki pengalaman, kepakaran laksana program transformasi syarikat

SUDAH hampir tiga bulan teka teki mengenai siapa pemilik baru PROTON Holdings Bhd terjawab dan dalam tempoh itu pelbagai isu berkaitan syarikat kereta nasional itu diperkatakan.
Antaranya penurunan penguasaan pasarannya dalam pasaran automotif tempatan dan isu membabitkan Bill-of-Material yang mengekang eksport keretanya hingga menyebabkan ia terpaksa menanggung kerugian daripada setiap kereta yang dieksport.


Isu lain ialah berkaitan kegagalan anak syarikat milik penuh PROTON Holdings, Lotus Group International Ltd, hingga menyebabkannya terpaksa menanggung kos berbilion ringgit dan yang membabitkan dakwaan salah urus serta amalan keputusan berkecuali kumpulan pengurusan kanannya berkaitan kos kawalan, logistik dan penempatan.

Ketika ini, perhatian terarah pula kepada perancangan serta strategi yang bakal dilaksanakan pemilik barunya, DRB-Hicom Bhd dalam menentukan strategi dan hala tuju pengeluar kereta nasional itu.

Paling utama, penganalisis melihat konglomerat itu harus menangani empat isu utama itu yang disifatkan mereka sebagai penyebab utama kepada penurunan prestasi kewangan syarikat yang berusia hampir 30 tahun itu.

Namun, wujud juga segelintir pihak yang skeptikal dengan kewibawaan DRB-Hicom dalam mengemudikan pengeluar kereta nasional itu ke arah era baru, kerana mereka masih tidak yakin konglomerat yang berpengalaman 28 tahun dalam industri automotif itu mampu membuat transformasi diperlukan PROTON Holdings.
Bagaimanapun jika disingkap latar belakang DRB-Hicom, ia sebenarnya sudah berpengalaman dalam melaksanakan transformasi.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, telah pun berjaya mengemudi konglomerat itu melalui pelan transformasi lima tahun (bermula pada tahun kewangan 2007 hingga tahun kewangan 2011 yang berakhir 31 Mac 2011).

Pada akhir tempoh itu, DRB-Hicom meraih pencapaian memberangsangkan dengan mencatatkan peningkatan pendapatan 135 peratus dari RM2.9 bilion kepada RM6.8 bilion, meningkatkan keuntungan sebelum cukai 275 peratus kepada RM701.5 juta daripada RM187.1 juta; dan mengurangkan nisbah hutangnya kepada 0.26 kali dari 0.87 kali.

Dalam tempoh sama, DRB-Hicom turut menjalin perkongsian strategik dengan jenama terkenal global termasuk Mercedes-Benz, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu, Mahindra, Audi AG dan Volkswagen AG; selain mampu mengeluarkan enjin untuk jenama motosikal terkemuka seperti Honda, Yamaha dan Suzuki.

“Di sini jelas kita boleh melihat bahawa setiap perniagaan diuruskan DRB-Hicom lebih menjurus kepada pendekatan keusahawanan dan langsung tidak bergantung kepada naungan atau tunjuk ajar daripada kerajaan.

“Aspek pengurusannya pula lebih mengutamakan kepentingan perniagaan bagi mencapai sasaran ditetapkan dan mengelak daripada kegagalan.

“Justeru, pendekatan konglomerat itu dilihat sesuai bagi menangani isu yang dihadapi PROTON Holdings,” kata seorang penganalisis.

Sebagai peserta utama industri automotif di Malaysia dan terbabit dalam rantaian bersepadu keseluruhan ekosistem automotif, DRB-Hicom sudah tentu mempunyai model perniagaannya untuk meningkatkan daya saing global PROTON Holdings.

Aset utama DRB-Hicom dalam menjayakan aspirasi mengubah PROTON Holding kepada sebuah entiti yang menguntungkan ialah pengalaman luasnya dalam sektor automotif tempatan serta rangkaian perkongsian strategik dengan pengeluar kenderaan ternama dunia.

Di samping itu, jalinan kerjasama perniagaan yang sudah lama wujud antaranya dan PROTON Holdings, seperti pembuatan komponen daripada HICOM-TeckSee Manufacturing (M) Sdn Bhd, Oriental Summit Industries Sdn Bhd (OSI), PHN Industry Sdn Bhd dan HICOM Diecastings Sdn Bhd, turut menjadi kelebihan kepada konglomerat itu.

“Dengan kelebihan yang dimiliki DRB-Hicom itu, model perniagaan baru yang akan diperkenalkannya sudah pasti akan memastikan kesinambungan dan kecemerlangan PROTON Holdings bersama semua ekosistem automotif negara di masa depan,” kata penganalisis berkenaan, sambil melahirkan keyakinan DRB-Hicom mampu mengukuhkan operasi syarikat nasional itu, khususnya dari segi penempatan dan pembangunan vendor, pembuatan sistem dan rangkaian pengedaran dan lebih penting lagi, kehadirannya di pasaran serantau sebagai kereta ASEAN.