TEMERLOH: Mulai tahun ini, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan selepas 21 tahun boleh menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Proses penyerapan jawatan itu dirangka hasil kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan menerusi program transformasi kerajaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini, 400 permohonan bekas anggota ATM diterima dan mereka yang diserapkan ke jawatan dalam PDRM itu akan memperoleh pendapatan mengikut skim gaji polis.


“Penyerapan jawatan dari ATM ke PDRM ini adalah satu daripada lima bidang kerjasama membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan negara iaitu program kawalan bersama, perkongsian pusat latihan, kawalan sempadan dan pertukaran maklumat.

“Sejak November tahun lalu, 15 kawasan di sekitar bandar menjadi perintis apabila dikawal bersama anggota ATM dan polis dan jika selepas enam bulan tempoh percubaannya tamat dan didapati berkesan, ia akan diperluaskan ke seluruh negara,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan veteran ATM serta keluarga masing-masing di Dataran Sri Ketumbit, Kerdau di sini, semalam.

Pada majlis itu, sembilan veteran ATM menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi mengiktiraf keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan bakti cemerlang ketika berkhidmat dalam ATM.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara dua kementerian itu bertujuan memastikan keselamatan negara dan kebajikan bekas tentera terjamin.

"Kerjasama dijangka dapat memberi kesan dalam usaha memerangi jenayah apabila polis ditugaskan menangani jenayah berat, manakala tugasan lainnya dijalankan ATM," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 8,000 anggota ATM mengambil alih tugas Pasukan Gerak Am (PGA) di 89 depoh polis di sempadan, manakala kira-kira 100 kumpulan pertama rekrut polis kini dilatih di dua pusat latihan ATM.

Selain itu, Ahmad Zahid mengumumkan mulai semalam, kutipan Tabung Hari Pahlawan tahun lalu yang mencecah lebih RM6 juta akan diagihkan kepada PBTM di semua peringkat termasuk cawangan terpilih di seluruh negara.

"Sebagai permulaan, hari ini (semalam) PBTM Pahang menerima sebanyak RM100,740, manakala 15 cawangan persatuan itu di negeri ini pula menerima RM5,000, selain sumbangan kepada PBTM daerah Temerloh.

"Penyerahan wang ini kepada PBTM diharap dapat membantu ahli yang susah dan anak mereka yang akan melanjutkan pengajian ke universiti atau asrama," katanya.

Ahmad Zahid berkata, jumlah yang diagihkan berbeza di peringkat negeri, daerah dan cawangan kerana ia mengambil kira bilangan keahlian di peringkat masing-masing.