Askar, guru ceriakan Britain Berjaya menamatkan penantian tuan rumah dengan memenangi emas pertama selepas lima hari temasya.
London: Letakkan seorang askar dan seorang guru sekolah yang tegas dalam sebuah bot yang sama dan anda akan memperoleh gabungan yang sempurna.

Itulah yang dibuktikan pendayung Heather Stanning dan Helen Glover apabila mengungguli perlumbaan sekali gus memenangi pingat emas pertama tuan rumah bagi temasya Olimpik London 2012.
“Saya agak sedikit suka mengarah kerana saya bekerja dengan kanak-kanak dan dia melakukan apa yang diarahkan kerana berada dalam pasukan tentera, maka ia berjalan dengan begitu bagus,” kata Glover beberapa jam selepas meraih kejayaan di Olympic Park kelmarin.


“Saya beritahu dia apa yang perlu dilakukan dalam bot,” tambah atlit berusia 26 tahun itu, yang bersama Stanning menjadi krew wanita British pertama memenangi kejuaraan Olimpik.

Stanning kembali melaksanakan tugasnya sebagai anggota tentera pada bulan depan dan mungkin akan dihantar ke Afghanistan tahun depan, tetapi ketika ini dia hanya mahu menumpukan terhadap kemenangan itu selepas menikmati kejayaan kemuncak dalam sukan yang diceburinya.

“Saya mencintai ketenteraan, ia sesuatu yang saya impikan. Saya belum bersedia untuk meninggalkan tentera dan bersara dari mendayung. Diharap, saya dapat menggabungkan kedua-duanya,” katanya dengan senyuman lebar sambil pingat emas tergantung di lehernya.

“Anda dilatih melakukan satu tugas yang sama seperti anda dikehendaki berlatih untuk satu perlumbaan. Saya sentiasa gembira dengan apa juga yang saya lakukan, sama ada berlumba mahupun tugasan tentera. Saya teruja dengan apa yang akan dihasilkan pada masa akan datang.”
Menurut satu laporan di laman web Kementerian Pertahanan (www.mod.uk) berkata, anggota tentera dari Rejimen Ke-32 Artileri Diraja menonton perlumbaan itu dari pangkalan mereka di Afghanistan.

Stanning, anak seorang pegawai tentera laut, diberi pelepasan dua tahun daripada sebarang tugas ketenteraan bagi membolehkannya berlatih menghadapi temasya terulung itu di laman sendiri.

Sementara itu, juara Tour de France, Bradley Wiggins dari Britain meraih pingat Olimpik keempat dalam kariernya kelmarin selepas mengetepikan pencabarnya bagi memenangi perlumbaan ujian masa lebuh raya lelaki.

Juara dunia dari Jerman, Tony Martin memenangi tempat kedua untuk meraih perak, manakala seorang lagi pelumba Britain, Chris memenangi gangsa.

Wiggins yang memenangi jersi kuning pertama Tour de France untuk Britain 10 hari lalu, melakukan kelajuan purata 52.11 kilometer (km) sejam untuk perlumbaan ujian masa sejauh 44 km yang bermula dan tamat di bekas kediaman Raja Henry VIII, Istana Hampton Cour. - Agensi