Alor Setar: Datuk Seri Azizan Abdul Razak dicabar untuk meletak jawatan Menteri Besar jika enggan bertanggungjawab terhadap segala isu yang menyelubungi pentadbirannya selama ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata sebagai pemimpin negeri, Azizan sepatutnya bertanggungjawab terhadap segala isu dan bukannya mengambil sikap lepas tangan termasuk dalam isu hutan simpan digondolkan di Bukit Perangin, Changlun baru-baru ini.
“Sebagai Menteri Besar, beliau kena mengambil tahu semua yang berlaku di Kedah, tak boleh kata bukan tanggungjawab, di luar bidang kuasa atau tak tahu.


“Beliau tak boleh bagi alasan tak tahu sebab ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kerana ia dimohon ketika zaman pemerintahan BN, kalau kata ini tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, pulang balik Kedah kepada BN kita selesaikan isu pembalakan di Bukit Perangin,” katanya selepas melancarkan program pembangunan Tukun Tiruan negeri Kedah di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, semalam.

Kelmarin, BH melaporkan Azizan mengakui aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri, sekali gus membuktikan sikap beliau yang cuba lepas tangan.

Beliau berkata, tanah di Hutan Simpan Bukit Perangin itu sudah diluluskan sebagai hak milik kepada 40 pemohon terdiri daripada Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) pada 2010. Justeru, kerajaan negeri tiada lagi sebarang kuasa ke atas semua tanah itu.

Pada masa sama, Mohd Johari berkata, tindakan Jabatan Hutan negeri memberi permit terhadap penggondolan hutan itu juga dipertikai kerana aktiviti pembalakan terbukti menjejaskan sumber air penduduk dan petani di daerah Kubang Pasu.
Ini kerana, katanya aktiviti pembalakan itu sudah menjejaskan aliran air di tiga sungai iaitu Sungai Kecil, Sungai Badak dan Sungai Wang Perah yang menjadi punca punca air kepada Sungai Temin iaitu sumber utama bagi Loji Air Jeragan dan Loji Bukit Temin.

“Jangan lagakan saya dengan KCS, saya hanya pertikaikan Jabatan Hutan yang meluluskan aktiviti itu kerana tempat terbabit tak sesuai. Saya kena jumpa dengan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, saya nak periksa penilaian Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA),” katanya.

Pada 27 Disember lalu, BH mendedahkan projek pembalakan baru di Hutan Simpan Bukit Perangin, berdekatan Kampung Wang Perah, menyebabkan hutan simpan itu semakin 'botak', sekali gus mencetus khuatir sama ada hutan itu bakal menerima nasib sama seperti tiga lokasi lain yang ditarah terutama sekitar kawasan tadahan di Pedu.