BUKIT Bintang Plaza (BB Plaza) yang menjadi aset penting UDA Holdings Bhd sejak lebih tiga dekad lalu dijangka dirobohkan awal tahun depan bagi memberi laluan kepada pembangunan stesen MY Rapid Transit (MRT) di kawasan itu.

Justeru, Pengarah Urusan Kumpulannya, Ahmad Abu Bakar, berkata 167 penyewa BB Plaza yang mana 60 peratus daripadanya adalah Bumiputera akan diminta berpindah bagi mengosongkan bangunan itu sebelum akhir tahun ini.
Katanya, notis bagi mengosongkan premis perniagaan masing-masing akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi membolehkan persediaan kerja-kerja awal projek pengangkutan terbesar negara itu dilaksanakan.


“Pihak UDA Holdings telah diberitahu Kementerian Kewangan (MOF) yang BB Plaza ini akan dirobohkan dan MRT Corporation juga telah meminta kami mengosongkan bangunan berkenaan sebelum akhir tahun ini, yang mana bangunan ini mungkin ditutup sepenuhnya pada Februari tahun depan.

“Justeru, UDA Holdings sebagai syarikat yang dimiliki oleh MOF perlu akur dengan keputusan berkenaan kerana ini adalah agenda nasional. Kami faham perkara ini mungkin menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan penyewa, tetapi dalam hal ini UDA Holdings juga terpaksa berpindah daripada BB Plaza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog dengan penyewa BB Plaza ekoran tercetusnya pelbagai spekulasi berhubung projek pembangunan MRT di kawasan Bukit Bintang.

Dialog itu bagi membolehkan UDA Holdings mengenal pasti, merangka dan melaksanakan pendekatan terbaik bagi menangani isu berkenaan kerana ia mungkin menjejaskan pendapatan peniaga di BB Plaza.
Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pengurusan Hartanah UDA Holdings, Syed Ahmad Nazri Syed Kamaruzaman.

Ahmad bagaimanapun berkata, UDA Holdings prihatin dengan nasib peniaga BB Plaza dan akan menempatkan mereka di bangunan perniagaan lain miliknya seperti di Kompleks Pertama, Pudu Sentral dan Cahaya Suria jika ada kekosongan.

“Namun tempat perniagaan yang ada ini terlalu terhad dan pemberian ruang niaga hanya diberikan mengikut permohonan terawal,” katanya sambil menambah, buat masa ini masih belum ada kejelasan berhubung pemberian pampasan kepada peniaga di pusat beli-belah itu.

Beliau menjelaskan, pembangunan semula BB Plaza akan membabitkan kos terlalu tinggi untuk UDA Holdings, malah MRT Corp juga tidak mempunyai rancangan untuk membeli bangunan berkenaan yang berharga RM500 juta.

Mengenai cadangan Tradewinds Corporation Bhd untuk mengadakan usaha sama dengan UDA Holdings bagi pembangunan semula BB Plaza, beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada MOF bagi tujuan itu.

“Kami memang ada terima cadangan usaha sama membangunkan semula BB Plaza daripada Tradewinds dan beberapa syarikat lain. Lembaga pengarah syarikat sudah berbincang mengenai perkara ini dan kini hanya menunggu keputusan daripada kementerian.

“Bagaimanapun, projek pembangunan semula ini bukan akan dilaksanakan dalam jangka terdekat kerana kita tidak mempunyai dana mencukupi pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, wakil penyewa BB Plaza, Hassan Saad berkata mereka berharap UDA dapat membela nasib peniaga di plaza berkenaan dan memberi jaminan tentang masa depan perniagaan mereka selepas bangunan itu dirobohkan.

“Kami juga berharap, selepas pembinaan semula BB Plaza, kami, sebagai peniaga asal di bangunan ini diberi keutamaan untuk menyewa premis baru itu nanti,” katanya.