BIMB Holdings Bhd meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) RM340.6 juta dalam separuh pertama berakhir 30 Jun 2012, meningkat 13.3 peratus daripada RM300.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Selepas ditolak cukai dan zakat, keuntungan bersih kumpulan perbankan Islam itu adalah RM238.6 juta, naik 6.7 peratus daripada RM223.6 juta.
Peningkatan keuntungan itu didorong pertumbuhan pendapatan bersih dan peningkatan perkongsian keuntungan daripada syarikat bersekutu yang melonjakkan pendapatannya sebanyak 19 peratus kepada RM1.17 bilion daripada RM986.5 juta.




RWCR kekal kukuh

Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang sahamnya dalam tempoh berkenaan meningkat RM4.5 juta atau 3.8 peratus manakala Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR) kekal kukuh pada paras 15.60 peratus.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2012, keuntungan bersihnya berkurangan 2.41 peratus kepada RM118.907 juta daripada RM121.378 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya walaupun pendapatannya meningkat 18.9 peratus kepada RM594.5 juta daripada RM500 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif BIMB Holdings, Johan Abdullah berkata, PBZT kumpulan perbankan Islam itu dalam tempoh separuh pertama 2012 sepatutnya meningkat 17.6 peratus jika tidak termasuk RM11.1 juta perkiraan semula peruntukan kemerosotan nilai ke atas pembiayaan dalam tempoh sama tahun lalu berikutan pelaksanaan rangka kerja Piawaian Laporan Kewangan Malaysia yang dikeluarkan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.


Catat PBZT RM278.4 juta

Dalam tempoh dikaji, Bank Islam mencatatkan PBZT RM278.4 juta, meningkat 10.4 peratus berbanding RM252.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pembiayaan bersihnya berkembang RM2.2 bilion untuk mencecah RM16.4 bilion pada akhir Jun lalu sementara deposit penggunanya meningkat 19.4 peratus atau RM4.6 bilion kepada RM28.7 bilion.

Bank Islam dijangka mengekalkan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan tahun lalu, malah mungkin lebih tinggi susulan pembiayaan kepada projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pelancaran produk pembiayaan baru.

Sementara itu, unit perniagaan takaful BIMB Holdings, Takaful Malaysia Group menjana pendapatan operasi sebanyak RM446.1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2012, meningkat 36.3 peratus daripada RM327.2 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Bagi tempoh separuh pertama, pendapatan operasinya meningkat 37.6 peratus kepada RM875.2 juta daripada RM636.2 juta pada separuh pertama tahun lalu.
Peningkatan didorong jualan tinggi daripada takaful keluarga dan pendapatan pelaburan yang tinggi.

Dalam tempoh berkenaan, Takaful Malaysia mencatatkan PBZT sebanyak RM63.9 juta, meningkat 28.1 peratus daripada RM49.9 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.