Projek dilaksana dengan kerjasama Elaf Bank

SEBUAH lebuh raya baru sepanjang 85 kilometer (km) yang berharga RM2.5 bilion akan dibina bagi menghubungkan Jelapang di Ipoh dengan Selama yang terletak di sempadan Perak-Kedah.
Lebuh raya bertol Jelapang-Selama itu akan dibina syarikat tempatan, Beta Mutiara Technologies (BMT) Sdn Bhd, yang mana pembinaannya akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).


BMT bekerjasama dengan bank pelaburan dari Bahrain, Elaf Bank yang menerbitkan sukuk bagi membiayai pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata lebuh raya enam lorong itu menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan sedia ada.

Selain itu, katanya, lebuh raya baru itu juga akan menjadi pemangkin pembangunan kawasan sekitar Selama yang tertinggal daripada arus pembangunan perdana sejak sekian lama.

“BMT dan Elaf Bank kini masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk menerbitkan sukuk bagi membiayai pembinaan lebuh raya itu,” katanya.
“BMT sedang berbincang dengan Kementerian Kerja Raya bagi menetapkan kadar tol,” katanya sambil menambah pembinaan dijangka bermula enam hingga lapan bulan dari sekarang selepas ke-dua-dua pihak mendapat kelulusan Kerajaan Pusat.

Zambry berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat BMT, BMT Jelas Sdn Bhd dengan Elaf Bank
di Ipoh, semalam.

Pengerusi BMT, Datuk Bahadon Arifin mewakili syarikat itu, manakala Elaf Bank diwakili Ketua Eksekutifnya, Dr Jamil Jaroud.

Hadir sama Pengerusi Elaf Bank, Ebrahim el Khuzam.

Lebuh raya itu akan mempunyai terowong sepanjang tiga kilometer berhampiran Sungai Siput.

Zambry menambah, lebuh raya baru itu akan bersambung dengan Lebuhraya Bandar Baru-Sungai Petani di Kedah yang juga dicadangkan oleh BMT Jelas.

Katanya, pembinaan lebuh raya alternatif di utara Perak itu akan memberi manfaat kepada 500,000 penduduk sekitar Sungai Siput, Kuala Kangsar, Taiping, Kuala Kurau dan Selama.