gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan kepemimpinan meraikan kejayaan Barisan Nasional membentuk kerajaan untuk PRU-13, semalam. - Foto Yazit Razali

Foto

Najib, Muhyiddin bersama Rosmah dan Norainee meraikan kejayaan membentuk kerajaan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

'Tsunami kaum Cina' antara punca undi berkurangan

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila menguasai 133 kerusi Parlimen bagi membolehkannya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Pakatan pembangkang pula mendapat 87 kerusi dengan DAP memperoleh 38 kerusi, PKR (28 kerusi) dan PAS (21 kerusi).
Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional” Najib Razak, Perdana Menteri

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen pada jam 12.50 tengah malam.

BN juga berjaya merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang, tetapi Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang kekal dikuasai pembangkang.

Pembangkang di Selangor berjaya mendapat 44 daripada 56 kerusi bagi membentuk kerajaan berbanding hanya 12 kerusi dimenangi oleh BN.

Pembangkang juga berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga di Kelantan dengan mendapat 33 kerusi, berbanding BN hanya 12 kerusi.
BN tambah kerusi

Di Pulau Pinang; pembangkang turut menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 30 kerusi dan BN menang 10 kerusi dengan DAP menyapu bersih semua 19 kerusi yang ditandingi, PKR mendapat 10 kerusi dan PAS hanya satu kerusi.

Bagaimanapun, BN menang tipis di Kedah, Terengganu dan Perak. Di Kedah BN mendapat 21 kerusi berbanding 15 untuk pembangkang, manakala di Terengganu BN memperoleh 17 kerusi dan pembangkang 15 kerusi.

Di Perak; BN berjaya melepasi jumlah majoriti mudah apabila mendapat 31 daripada 59 kerusi, berbanding 28 untuk pembangkang. Pada pilihan raya umum 2008, BN tewas tetapi berjaya membentuk kerajaan pada 2009 selepas tiga ADUN pembangkang menyokong BN.

Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, BN menambah kerusi Parlimen apabila berjaya merampas Titiwangsa daripada PAS dan mengekalkan Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan.

Kerusi lain yang dimenangi pembangkang ialah Kepong, Wangsa Maju, Segambut, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Batu.

BN buat analisis

Datuk Seri Najib Razak, dalam persidangan media selepas kejayaan itu berkata, keputusan yang kurang memberangsangkan kepada BN, berpunca daripada ‘tsunami kaum Cina’ yang tidak memberikan sokongan kepada BN sehingga MCA dan
GERAKAN yang mewakili kaum itu tewas di kebanyakan kerusi kepada DAP.

Katanya, BN akan membuat analisis terhadap keputusan pengundi Cina, selain kajian mengenai kegagalan mencatat kemenangan dua pertiga di Terengganu.

Beliau berkata, ‘tsunami kaum Cina’ berlaku kerana pihak pembangkang memainkan sentimen perkauman tidak sihat untuk negara ini kerana Malaysia mahu menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Amalan demokrasi lancar

Najib juga berkata, keputusan itu membuktikan amalan demokrasi di negara ini berjalan lancar dan teratur.

“Keputusan rakyat ini turut menunjukkan aliran polarisasi pengundi dan ini membimbangkan. Jika tidak ditangani, ia boleh menimbulkan perbalahan dan ketegangan di negara ini.

“Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional,” katanya.

Kepada pembangkang Najib berkata, demi kepentingan negara beliau berharap pembangkang menerima keputusan dengan hati terbuka dan biarkan proses demokrasi berjalan lancar.

Najib juga memberi jaminan semua aku janji akan dilaksanakan dan ditunaikan oleh kerajaan BN.

“BN akan menubuhkan mekanisme khusus bagi memantau pelaksanaan aku janji supaya rakyat sedar apabila kita membuat komitmen, kita akan tepati,” katanya.