Kuala Lumpur: Jangan bagi alasan lagi! – tegas ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek yang seolah-olah sudah tidak tahan dengan prestasi tidak menentu dua anak didiknya, Liew Daren dan Chong Wei Feng apabila menegaskan mereka perlu menghasilkan keputusan cemerlang menjelang Terbuka Singapura bermula 18 Jun ini.

“Mereka sudah diberi banyak pendedahan dalam tempoh beberapa tahun ini selain faktor umur yang sepatutnya sudah menampakkan petanda positif dalam corak permainan.
“Undian sukar pada Terbuka Singapura juga tidak boleh dijadikan alasan kerana beraksi dalam kejohanan bertaraf Siri Super itu semua tidak boleh dielakkan kerana pemain terbaik dunia pasti akan beraksi. Persoalannya kini sama ada mereka berani atau tidak.

“Saya bukan berputus asa terhadap mereka tetapi Daren dan Wei Feng memang menjadi sandaran utama kerana pemain pelapis masih belum bersedia.

“Jika saya tidak letak sasaran tinggi atau sekurang-kurang ke suku akhir, sampai bila pun prestasi mereka tidak akan meningkat,” kata Rashid ketika dihubungi semalam.

Tugas getir Daren

Berdasarkan undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Daren berdepan tugas getir apabila diundi bertemu pilihan kelapan dari China, Wang Zhengming di pusingan pertama manakala Wei Feng membuka tirai saingan menentang pemain India, RMV Gurusaidutt.
Daren bakal berdepan laluan sukar melakar kejutan kerana jika melepasi pusingan pertama, Tommy Sugiarto (Indonesia) menanti di pusingan kedua diikuti Kenichi Tago (Jepun) di suku akhir sebelum dua pemain China, Du Pengyu atau Lin Dan di separuh akhir.

Cabaran getir buat Wei Feng pula akan hadir pada pusingan kedua apabila dijangka bertemu juara dua kali Terbuka Singapura, Boonsak Ponsana dari Thailand.