London: Gimnas Jepun, Kohei Uchimura berkata dia merasakan seperti melepaskan diri daripada “hantu” selepas menggondol gelaran pertama di Olimpik sekali gus mengesahkan kedudukannya selaku gimnas lelaki terbaik di dunia.

Atlit berumur 23 tahun itu memburu pingat emas individu keseluruhan sejak dia tewas kepada atlit China, Yang Wei yang bersara pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Uchimura menjuarai tiga kejohanan dunia berturut-turut tetapi ia masih belum memuaskan hatinya.


Biarpun Jepun kalah kepada juara China dalam final berpasukan Isnin lalu, Uchimura mengakui lega selepas menewaskan Marcel Nguyen dari Jerman untuk memperoleh kejuaraan individu.

“Saya telah memenangi tiga kejohanan dunia tiga kali berturut-turut tetapi ini berbeza.

“Ini (Sukan Olimpik) dianjurkan empat tahun sekali, jadi perlu menunggu. Saya rasakan seperti ‘hantu’ mengejar saya sepanjang masa,” katanya. - AFP