Bahamas tamat dominasi AS Kuartet 4x400 meter lelaki Bahamas dari kiri Ramon Miller, Chris Brown, Demetrius Pinder dan Michael Mathieu gembira selepas mengutip pingat emas.
London: Dominasi Amerika Syarikat selama 28 tahun dalam acara 4x400 meter lelaki Sukan Olimpik berakhir penuh dramatik apabila kuartet Bahamas berjaya merampas pingat emas acara itu, awal pagi semalam.

Chris Brown, Demetrius Pinder, Michael Mathieu dan Ramon Miller berjaya memperbaharui rekod kebangsaan Bahamas dengan catatan 2 minit 56.72 saat, dengan Miller mengatasi pelari terakhir Amerika Syarikat, Angelo Taylor berbaki 50 meter terakhir.
“Miller memiliki kepantasan kaki yang luar biasa. Saya berasa cukup kecewa terhadap rakan sepasukan lain. Saya benar-benar gagal mempertahankan tradisi kami,” kata Taylor yang mendahului beberapa meter pada awalnya.


“Saya rasa cukup baik untuk 300 meter pertama, kemudian saya cuba memintasnya semula tetapi gagal.”

Taylor bersama-sama Bryshon Nellum, Joshua Mance dan Tony McQuay meraih perak buat Amerika Syarikat dengan catatan terbaik musim ini iaitu 2:57.05s, namun gagal mempertahankan emas yang dimenangi negara itu dalam tujuh edisi acara berkenaan sebelum ini.

Malah, ia adalah emas sulung Bahamas dalam acara olahraga di Sukan Olimpik.

Kata Brown, salah seorang pelari Bahamas: “Tak kiralah sekecil mana kapak itu, kamu tetap mampu menumbangkan pokok besar. Kami umpama kapak kecil dan Amerika Syarikat umpama pokok besar. Tapi kami mampu melakukannya.”
Pingat gangsa diraih kuartet dari Trinidad dan Tobago yang dibarisi Lalonde Gordon, Jarrin Solomon, Ade Alleyne-Forte serta Deon Lendore manakala kuartet tuan rumah Great Britain sekadar meraih tempat keempat. Reuters