Pelari pecut Amerika, Ryan Bailey mencatat larian terpantas pada kelayakan pusingan pertama dalam acara 100 meter lelaki semalam, ketika semua atlit pilihan dari AS dan Jamaica mudah melepasi pusingan kelayakan masing-masing.

Juara bertahan Usain Bolt mencatat 10.09 saat dalam kelayakan acara riben biru itu, masa yang perlahan berbanding catatan 9.88s oleh Bailey, yang menyamai catatan peribadi terbaik pelari AS itu.
Saya hanya mahu berlari dalam saringan untuk memastikan layak ke peringkat seterusnya, kata Bailey, 23 tahun.


Mengejutkan saya kerana agak mudah. Tiada tekanan langsung buat saya. Saya betul-betul fokus kepada diri sendiri dan tidak kepada yang lain.

Rakan Bolt dari Jamaica, Yohan Blake yang juga juara dunia, mencatat 10s ketika mudah memenangi saringannya.

Asafa Powell, juga dari Jamaica, mengungguli saringannya dalam masa 10.04s tatkala atlit muda Britain Adam Gemili (10.11), dan rakan senegara Dwain Chambers turut layak dengan memenangi saringan dalam masa 10.02s.

Rakan Bailey dalam pasukan AS juga juara Olimpik 2004, Justin Gatlin memenangi saringannya dengan catatan 9.97s sambil menyifatkan trek itu amat laju.
Ia satu lagi hari yang baik, kata Gatlin, yang sebelum ini digantung empat tahun kerana mengambil dadah terlarang. Saya hanya mahu memberikan penonton persembahan terbaik. Anda rasa kelainannya.

Juara dunia berganda acara pecut pada 2007 di Osaka, Tyson Gay, menamatkan larian dalam masa 10.08s. Saya rasa amat baik, larian yang bagus, kata Gay. Saya lakukan apa yang perlu dilakukan. Saya hanya memerah tenaga kira-kira 75 peratus.

Separuh akhir dan akhir acara 100m dijadualkan hari ini.
AFP