ALOR SETAR: Keadaan di kawasan dilanda banjir di Kedah semakin pulih apabila bilangan mangsa yang dipindahkan terus berkurangan pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara, ketika dihubungi berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan banjir sehingga 8 pagi ini berkurangan kepada 16,344 orang berbanding 16,915 orang petang semalam.
Di daerah Kota Setar, jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 11,441 orang dan di Kubang Pasu, 4,903 orang.


Jurucakap itu berkata, sebanyak 36 pusat pemindahan masih dibuka, 24 daripadanya di Kota Setar dan 12 di Kubang Pasu.

Pejabat Penyelaras Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada akan menyalurkan bantuan barangan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Bukit Lada di sini yang baru pulang ke rumah bagi meringankan beban mereka.

Penyelarasnya, Haris Che Mat, berkata sebanyak 200 rumah di kawasan itu terbabit dalam banjir yang melanda daerah Pokok Sena sejak 1 November lalu.

"Unit Kebajikan Pemuda Umno Pokok Sena dan Penyelaras DUN Bukit Lada akan akan memastikan semua yang terlibat dengan banjir menerima bantuan itu. Kita juga dapatkan bantuan Pejabat Belia Pokok Sena yang akan menghantar anggota belia untuk membantu membersih rumah," katanya. - BERNAMA