Kuala Lumpur: Gelombang banjir kedua mula melanda Pantai Timur semalam menyebabkan lebih 900 penduduk di Terengganu dan Pahang terpaksa dipindahkan.

Di Terengganu, 800 mangsa dipindahkan setakat 6 petang semalam dengan tiga daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun membuka kembali pusat pemindahan banjir selepas beberapa kawasan dinaiki air susulan air pasang dan hujan lebat sejak pagi.
Hulu Terengganu menjadi daerah pertama membuka semula pusat selepas beberapa hari mangsa pulang ke kediaman masing-masing. Setakat petang semalam, lima pusat pemindahan dibuka di daerah itu bagi menempatkan 599 mangsa, manakala 162 mangsa lagi di dua pusat di Kemaman dan 39 mangsa di sebuah pusat pemindahan di Dungun.


Penduduk diingat berjaga-jaga


Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan semua rakyat negeri itu supaya berjaga-jaga menghadapi banjir gelombang kedua terutama di kawasan rendah dan berisiko.

“Mengikut pengalaman lalu, Terengganu biasanya bakal berdepan banjir gelombang kedua atau ketiga selepas peringkat pertama reda,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan RISDA di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Di Pahang, tiga pusat pemindahan dibuka menempatkan 152 mangsa di Kuantan sehingga jam 6 petang semalam dengan 98 dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Galing, SK Sungai Ular (9) dan Dewan Orang Ramai Balok (45) berikutan hujan lebat sejak jam 3 pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Balok, Mohd Zainol Ali, berkata pihaknya sudah mendaftarkan semua mangsa dalam banjir kali kedua yang melanda kawasan terbabit dalam tempoh dua minggu.

Sesi sekolah ditangguh


Di Kelantan, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang, berkata sesi baru persekolahan empat sekolah di Tumpat dan satu di Pasir Mas yang sepatutnya bermula hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami air sedalam setengah meter.

Sekolah di Tumpat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan dengan 287 murid; SK Bendang Pak Yong (470 murid); SK Telok Jering (415 murid) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurulhuda (205 murid), selain SABK Diniah Bongor di Pasir Mas (50 murid) dan tiga TABIKA KEMAS membabitkan 90 kanak-kanak di Rantau Panjang.

“Sesi persekolahan di sekolah terbabit akan dibuka semula sebaik suasana kembali seperti sedia kala dengan laluan masuk ke sekolah disahkan selamat untuk digunakan. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, sekolah terletak di pinggir Sungai Kelantan selalunya mengambil masa memulakan operasi disebabkan air bertakung lambat surut,” katanya.

Penyelia Kanan KEMAS Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa, berkata kelas prasekolah terbabit ialah TABIKA Kampung Tok Rusa serta TABIKA Sri Kenanga dan TABIKA Sri Kenanga NKRA di Kampung Bongor, di sini selepas persekitaran premis itu masih digenangi air dan laluannya tidak boleh dilalui.

Katanya, sebanyak 22 daripada 50 TABIKA KEMAS di kawasan Rantau Panjang terjejas akibat banjir sedalam antara 0.5 hingga 1.0 meter sebelum, sekali gus menyebabkan perabot dan kelengkapan kelas rosak.