Babitkan pembayaran RM435 juta

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 20 peratus membabitkan pembayaran berjumlah RM435 juta kepada 926,578 anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Ia merangkumi pengagihan dividen tunai sebanyak 15 peratus membabitkan pembayaran RM330 juta dan dividen bonus lima peratus membabitkan bayaran RM105 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengagihan dividen lumayan berkenaan dibuat susulan keputusan kewangan memberangsangkan yang dicatatkan bank koperasi itu.


Beliau berkata, dalam tahun kewangan dikaji, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai serta zakat sebanyak RM2.02 bilion, meningkat 17.6 peratus berbanding RM1.72 bilion pada tahun sebelumnya.

“Keputusan itu yang adalah satu lagi rekod keuntungan tertinggi bagi bank koperasi ini dicapai hasil penumpuan terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan serta peningkatan mutu aset, walaupun terdapat cabaran dalam industri perbankan tempatan,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim.

Ismail Sabri berkata, selepas ditolak cukai serta zakat, keuntungan bersih bank koperasi itu ialah sebanyak RM2 bilion, naik 49.5 peratus berbanding RM1.34 bilion tahun sebelumnya.
Ia juga, katanya adalah satu lagi rekod keuntungan bersih tertinggi bagi bank koperasi itu.

Beliau berkata, dalam tahun kewangan dikaji, jumlah pendapatan kasar Bank Rakyat meningkat 13.3 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding RM4.86 bilion yang diraihnya pada tahun sebelumnya.

“Pembiayaan peribadi kekal penyumbang utama kepada prestasi itu, di samping pertumbuhan pendapatan perniagaan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu serta aktiviti pelaburan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pendapatan dari sumber pembiayaan juga meningkat kepada RM4.46 bilion berbanding RM4.04 bilion sebelumnya, yang mana 91.4 peratus disumbangkan perbankan konsumer, manakala baki 8.6 peratus lagi oleh perbankan komersil.

Bank Rakyat juga katanya merekodkan pendapatan berasaskan yuran RM92 juta, yang mana 75.7 peratus disumbangkan pendapatan wasiat, komisen takaful dan yuran perkhidmatan ATM.

Beliau berkata, jumlah aset bank koperasi itu melonjak 17.1 peratus kepada RM72.48 bilion daripada RM61.91 bilion sejajar pertambahan kukuh depositnya.

Pulangan ke atas asetnya juga, kata beliau kekal tinggi pada kadar tiga peratus.

Mengenai prospek bagi tahun ini, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat menjangka mengekalkan prestasi cemerlangnya dengan menyasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM2.1 bilion, didorong oleh peningkatan segmen pinjaman peribadi dan pendapatan Ar-Rahnu.

Katanya, bank koperasi itu akan terus berusaha meningkatkan sumbangan pembiayaan komersial dalam tempoh jangka panjang bagi menyeimbangkannya dengan segmen pembiayaan peribadi.

Katanya, bank itu juga akan membuka sembilan cawangan baru tahun ini sebagai tambahan kepada 135 cawangan sedia ada, termasuk di Bentong, Kuala Krai, Nusajaya, Nilai dan Cyberjaya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon yang bakal mengisi jawatan Pengarah Urusan bank koperasi itu apabila ia dikosongkan selepas Datuk Kamaruzaman Che Mat menamatkan tempoh perkhidmatannya 28 Februari lalu, Ismail Sabri berkata, Bank Negara Malaysia akan memutuskannya dalam tempoh terdekat ini.