Bantah serah Edward Snowden Penunjuk perasaan berarak ke Konsulat Amerika bagi menyokong Snowden di Hong Kong, kelmarin.
Hong Kong: Separuh daripada penduduk Hong Kong tidak mahu pihak berkuasa mengekstradisi bekas perisik, Edward Snowden, ke Amerika Syarikat.

Keputusan itu berdasarkan satu kajian pendapat yang disiarkan semalam, sehari selepas beratus-ratus orang keluar menunjukkan sokongan kepadanya.
Kajian pendapat Sunday Morning Post mendapati, sejumlah 49.9 peratus merasakan Snowden tidak sepatutnya dihantar pulang sekiranya Washington memfailkan ekstradisi.

Snowden masuk ke Hong Kong selepas mendedahkan program pemantauan besar-besaran Amerika menerusi internet kepada akhbar.

17.6 peratus sokong ekstradisi

Kajian dijalankan oleh Pusat Kajian Pendapat Umum dan Komunikasi di Universiti China itu juga mendapati hanya 17.6 peratus atau 509 responden menyokong ekstradisi manakala 32.4 peratus tidak memihak.

Keputusan kajian itu dibuat selepas demonstrasi besar-besaran Hong Kong mengenai isu itu yang menyaksikan beratus-ratus orang berhimpun dalam hujan kelmarin, bagi menyokong Snowden, 29, di luar konsulat Amerika dan ibu pejabat kerajaan.
Hong Kong, bekas tanah jajahan British menjalankan sistem perundangan berasingan apabila diserahkan untuk pemerintahan China pada 1997.

Ia juga mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Amerika tetapi Beijing boleh menggunakan kuasa veto untuk sebarang tindakan.

Penganalisis berkata, sentimen umum boleh memainkan peranan utama dalam keputusan akhir bandaraya terbabit.

“Pendapat umum di Hong Kong kelihatan menentang kerajaan Amerika kerana pendedahan Snowden mengenai pencerobohan komputer Amerika turut membabitkan penduduk Hong Kong,” kata penganalisis, Sonny Lo.

“Pendapat umum ini termasuk pada peringkat ini, membabitkan golongan demokrat dan aktivis pro Beijing,” kata Lo yang juga ketua Jabatan Sains Sosial di Institut Pendidikan Hong Kong.

Jika demikian, politik menghalang Snowden daripada dihantar pulang ke Amerika sudah bermula, katanya. AFP