Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata Jemaah Menteri negeri juga bersetuju menyumbang RM50,000 kepada setiap anggota keselamatan yang cedera parah dalam kedua-dua kejadian di Pantai Timur Sabah itu.
Turut hadir, tiga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Datuk Yahya Hussin dan Datuk Dr Yee Moh Chai serta semua menteri Kabinet negeri.
Musa berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Malaysia di Sabah amat menghargai dan menyanjung tinggi jasa serta pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Sesungguhnya pengorbanan mereka terhadap negara memang besar maknanya dan tidak dapat dinilai dengan apa sekalipun,” katanya.
