MELAKA: Bapa dan dua abang seorang budak perempuan berusia 11 tahun nekad menyerang dan bergelut dengan empat penjenayah bertopeng dan berparang bagi menyelamatkannya daripada diculik, pagi kelmarin.

Dalam kejadian di hadapan rumah mereka di Taman Malim Jaya, dekat sini, kira-kira jam 6.50 pagi itu, budak itu berada di dalam kereta Toyota Vios bersama ibunya untuk ke sekolah apabila empat penjenayah memecahkan tingkap kenderaan dan menariknya.
Walaupun tergamam seketika, ibu budak itu sempat membunyikan hon kereta dan menjerit menyebabkan suaminya, seorang pengurus syarikat serta dua anak lelakinya keluar dari rumah.


Melihat anaknya diangkat penjenayah ke sebuah kereta, Toyota Harrier, yang diletakkan berdekatan rumah mereka, bapa dan dua abang mangsa meluru menyerang penjenayah terbabit hingga berlaku pergelutan.

Syukur Allah menyelamatkan kami sekeluarga kerana jika saya terlambat 30 saat, kumpulan lelaki itu pasti berjaya melarikan anak perempuan saya, kata bapa mangsa sambil menambah kumpulan penjenayah itu kelihatan profesional dan lengkap berpakaian tebal.

Katanya, libasan seorang daripada penjenayah itu nyaris terkena anak lelakinya yang membantu membebaskan adiknya, yang pengsan dalam kenderaan penjenayah itu.

Saya bersyukur kerana dia sempat mengelak dan pemandu Toyota Harrier berkenaan menjerit dalam bahasa Inggeris, time berulang kali sebelum mereka bergegas melarikan diri, katanya.
Beliau berkata, kehadiran jiran yang mula meninjau ke jalan di taman itu juga mungkin membantu menyelamatkan mereka sekeluarga daripada kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, katanya, penjenayah itu menghubunginya petang semalam dan memberi amaran supaya berjaga-jaga dan mengesyaki kumpulan itu memperoleh nombornya daripada dompet anaknya yang tertinggal di dalam kenderaan penjenayah.

Beliau yang ditemui di rumahnya sudah membuat laporan polis dan enggan gambar atau identitinya disiarkan kerana bimbang keselamatan seluruh anggota keluarga terancam selain mematuhi arahan polis bagi melancarkan siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bapa mangsa cedera di lutut dan ibunya luka di siku manakala mangsa dan dua abangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Setakat ini katanya, pihaknya belum dapat mengenal pasti motif penculikan itu dan sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu cuba melarikan orang dari jagaan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kejadian itu sudah dirancang berdasarkan waktu kejadian.

"Susulan kejadian ini, kita sudah melancarkan gerakan memburu kumpulan berkenaan menerusi Ops Tutup. Kita minta sesiapa yang menyaksikan kejadian ini termasuk jiran mangsa supaya tampil membantu menyalurkan maklumat," katanya.