Bawa hati ke Doha BH Online

Bawa hati ke Doha

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2010/05/06

Sherry Ibrahim nekad tinggalkan dunia seni, kembali menjadi pramugari bagi Qatar Airways

ZIANA Zain, Scha Alyahya, Fouziah Gous, Rozita Che Wan, Datin Normala Samsudin antara contoh selebriti yang pernah terbang di awan biru dan memilih kerjaya sebagai pramugari sebelum memilih bidang seni. Sherry Ibrahim juga tidak ketinggalan memulakan kerjaya yang sama sejak 2001 hingga 2006.

Selepas itu, pelakon jelita bernama penuh Syarizad Ibrahim ini selesa memilih bidang seni yang mengubah sisi hidupnya serta-merta. Malah kebelakangan ini, rezekinya juga semakin murah dalam dunia lakonan dan pengacaraan. Tetapi agak mengejutkan ketika namanya mula mekar, Sherry memilih untuk kembali ke bidang kerja asalnya.

Biarpun keputusan ini agak berat untuk direalisasikan, wanita yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-27 pada 3 April lalu memilih untuk ‘meninggalkan’ dunia hiburan. Ketika ini, Sherry masih belum mampu memberi kata putus sama ada pengunduran dirinya itu untuk selama-lamanya atau dalam tempoh seketika.

Kata Sherry, selepas membuat pertimbangan nyata, dia akhirnya nekad untuk kembali bergelar pramugari bagi Qatar Airways yang beroperasi di Doha. Keputusan dan hasrat itu sekali gus memerlukannya berhijrah meninggalkan Malaysia bermula Ahad ini.

“Ini tawaran kedua yang Sherry terima daripada Qatar Airways sejak Mac lalu. Kali pertama Sherry terima dua tahun lalu. Tapi ketika itu, Sherry sudah mula seronok dengan dunia seni, maka Sherry tolak pelawaan mereka. Jadi Sherry lupakan begitu saja.

“Berbeza kali ini, Sherry tak mampu lagi menghampakan pihak mereka lagi dan demi masa depan yang lebih terjamin, haluan ini yang harus dituju. Bukan bererti dunia seni yang selama ini Sherry sertai tidak menjamin masa depan, cuma selepas berkira-kira itu dan ini, satu keputusan muktamad perlu dilakukan.

“Malahan, sebelum Sherry mencecah usia 30 tahun, banyak benda yang ingin disempurnakan termasuk mengembara di seluruh dunia. Sepanjang bertugas sebagai pramugari dulu, banyak juga lokasi menarik yang belum dikunjungi Sherry,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Biarpun tidak mahu menoleh ke belakang lagi, Sherry memberitahu makin banyak pula tawaran berlakon yang datang kepadanya. Tugasnya sebagai pengacara Chopp!! di TV9 sejak sebulan lalu juga terpaksa dilepaskan biarpun dia sudah mula selesa dengan tanggungjawabnya itu.

“Ikutkan hati memang Sherry berbelah bagi untuk membuat keputusan ini. Tapi mujur keluarga Sherry sentiasa menyokong, malah gembira dengan keputusan yang sudah diputuskan. Cuma selepas ini, Sherry kena berjauhan dengan keluarga dan teman tersayang.

“Ibu pun sebenarnya lebih suka Sherry menjadi pramugari. Memandangkan faedah dan gaji yang ditawarkan Qatar Airways begitu baik, jadi Sherry tak rugi apa-apa. Sekurang-kurangnya, Sherry boleh terus menyimpan dan mengumpul duit untuk masa depan,” katanya bersemangat sambil mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat, rakan media, pihak produksi, stesen TV dan semua pihak yang pernah terbabit secara langsung atau tidak dengannya.

Mengenai soal peribadi, Sherry mahu pengalaman cinta lalu terus berlalu dan enggan dikenang lagi. Yang lebih mustahak ialah untuk memikirkan masa depan dan kemungkinan yang bakal terjadi.

Selepas bercuti ke London dan Oxford selama sebulan hujung tahun lalu, hati dan naluri kewanitaannya semakin pulih sepenuhnya daripada kedukaan rentetan episod percintaannya dengan Ashraf Muslim ternoktah di tengah jalan. Pintanya, dia tidak mahu terus-terusan dikaitkan dengan aktor kacak itu.

“Sudah sudahlah kisah kami diperkatakan. Sebenarnya Sherry mula rimas dengan kisah itu. Sherry sedar bukan mudah untuk ia terus terhakis dalam ingatan masyarakat. Memang kami pernah bersama menjalinkan cinta selama tiga tahun. Itu satu fakta.

“Tapi dengan apa yang dilalui sekarang, kami sudah ada haluan masing-masing. Sherry berhak untuk menikmati hidup tanpa terus dibelenggu bayangan lalu. Sherry juga tak suka apabila ada menyampai perkara yang tak sepatutnya mengenai kami apatah lagi Sherry sudah tidak ada apa-apa kaitan dengannya.

“Sherry tak nafikan agak sensitif dengan hal ini. Tak perlulah nak mengungkit kisah lama atau mengeruhkan keadaan kerana Sherry sendiri tak tahu apakah perkara yang disampaikan itu benar kesahihannya atau tak perlu langsung Sherry ambil tahu,” katanya kala hadir di Balai Berita baru-baru ini mengenakan persalinan rekaan Wanpa dan disolek teman baiknya, Najeeb.

Sherry tidak menolak andai ada kemungkinan untuk jatuh cinta lagi. Terbaru, Hip difahamkan Sherry sedang rapat dengan seseorang sejak awal tahun ini. Bagaimanapun, mereka mula mengenali sejak pertengahan tahun lalu.

Lelaki bertuah yang dimaksudkan itu sedang melanjutkan pelajaran dalam sarjana bidang Kejuruteraan di Universiti Oxford, United Kingdom. Dengan pengalaman lalu, Sherry tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi dalam hubungan ini kerana bimbang pisang akan berbuah dua kali seperti sebelumnya.

“Semestinya keluarga sudah tahu dengan siapa Sherry kawan. Sherry sendiri mengharapkan yang terbaik. Tapi soal jodoh di tangan Tuhan. Tak semestinya apa yang dirancang akan menjadi seperti yang diingini. Sherry pun tak nak terlalu memikirkan hal ini.

“Dia sangat memahami dan ketika Sherry berdepan dengan kemelut, dia sentiasa ada dengan Sherry. Dia banyak bagi nasihat untuk terus memulihkan semangat Sherry. Dia banyak membantu memberi motivasi dan tidak cepat menjatuhkan hukum terhadap apa yang pernah dilalui Sherry. Sherry selesa dengan dia,” katanya yang sedang menanti filem terakhir lakonannya, Kapoww! arahan Azizi ‘Chunk’ Jun depan.

PROFIL: Sherry
  • Nama penuh: Syarizad Ibrahim
  • Panggilan: Sherry Ibrahim
  • Tarikh Lahir: 3 April 1983
  • Asal: Petaling Jaya
  • Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model iklan
  • Filem: Maut dan Kapoww!
  • Drama: Dunia Baru, Elly, Renjis, Jelatang, Cinta Untuk Ain, Lara Rindu Mahsuri, Dira & Nina, Cik Ah Cik Nin, Chapalrela, Kapoww!
  • Rancangan TV: Layar Lensa dan Muzik Aktif
  • Iklan: McDonald, Frefer Shampoo, Celcom, TM Net dan HSBC.

    Penghargaan
    Busana: Wanpa (Ridzuan Ismail, 012-2386148 dan Rosix Omar, 0196690717)
    Solekan: Najeeb menggunakan MAC (012-2116962).