Bekas tentera disaran teruskan legasi perjuangan Perbarisan anggota dan aset Tentera Darat di Kem Sirusa, Port Dickson. - Foto Hazreen Mohamad/VBH]
Port Dickson: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid kesal dengan tindakan beberapa bekas rakan seperjuangan yang secara terbuka menyokong pembangkang.

Sambil menyifatkan tindakan empat bekas jeneral yang membuat keputusan demikian menjejaskan pandangan masyarakat terhadap imej dan kredibiliti ATM, beliau berkata, sebagai seorang yang pernah memegang jawatan kanan dalam ATM, mereka sepatutnya berpegang teguh kepada etika profesional.
Bertentangan etika
Bekas tentera yang sudah banyak berkorban selama ini diharap dapat meneruskan legasi perjuangan dan tradisi ketenteraan demi kepentingan ATM dan negara," Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid, Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

“Tindakan mereka tidak wajar, bertentangan etika serta ‘Ikrar Satria’ warga tentera yang sepatutnya terus menjadi pegangan. Saya yakin dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan membuktikan mereka diperalatkan untuk tujuan politik pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perbarisan perarakan anggota dan aset Tentera Darat di Kem Sirusa, di sini semalam yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Pada 22 Februari lalu, media melaporkan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (Darat)’ Brig Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab (Udara); Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (Laut) dan Brig Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (KAGAT), dijemput Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sesi ceramahnya.

Beri khidmat terbaik
Abdul Rahman yang berharap mereka yang terpesong itu kembali ke perjuangan asal, manakala yang masih berkhidmat terus memberikan perkhidmatan terbaik dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada negara, berkata fakta dikemukakan bekas jeneral berkenaan pada ceramah pembangkang itu, tidak tepat dan bertentangan keadaan sebenar.

“Bekas tentera yang sudah banyak berkorban selama ini diharap dapat meneruskan legasi perjuangan dan tradisi ketenteraan demi kepentingan ATM dan negara,” katanya.