gambar sebelum  gambar berikut
Foto

SITI ROHANI meninggal dunia selepas setahun berjuang dengan penyakit barah payu dara.

Foto

JAMIL dan Siti Rohani bersama sebahagian anak mereka.

Siti Rohani Wahid 1957-2010

SUGUL suara pengarah M Jamil tatkala menceritakan pemergian isteri kesayangannya, Siti Rohani Wahid, 53 yang meninggal dunia kelmarin akibat barah payu dara. Tidak pernah dia menyangka bahawa satu hari nanti isteri yang dicintai akhirnya dijemput Ilahi terlebih awal dan meninggalkan dirinya bersama tujuh zuriat hasil perkongsian hidup mereka selama 23 tahun.
Namun ketentuan tuhan, tak siapa mampu menghalangnya. Dalam sedih dan duka yang tidak tertahan, terpaksa juga Jamil melepaskan pemergian arwah isterinya walaupun dengan hati yang berat.

“Setahun dia menderita penyakit itu dan dalam tempoh itu, dia berulang alik ke hospital merawat kanser yang sudah mencapai tahap empat. Pun begitu, dia tabah menghadapinya. Dia wanita yang kuat semangat. Tapi tuhan lebih menyayangi dirinya.

“Isteri saya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1 lebih di Hospital Putrajaya. Syukur kerana saya dan anak-anak berada di sisinya ketika itu. Sempat juga dia menitipkan azimat berharga supaya saya terus menjaga anak-anak, meminta saya meneruskan juga kerja pengarahan filem terbaru saya, Momok: Jangan Panggil Aku yang bermula 18 Julai ini,” katanya ketika dihubungi Hip pagi semalam.

Jenazah Allahyarhamah yang juga menantu seniwati terkenal, Datuk Sarimah Ahmad ini selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya sejurus selepas solat Asar.

Sambil menyifatkan pemergian arwah sebagai sesuatu yang sukar untuk dilupakan, Jamil juga mengakui arwah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
“Arwah juga melakukan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan cukup baik daripada aspek mendidik anak-anak hinggalah menjaga makan minum kami sekeluarga,” katanya dalam nada sayu.

Biarpun dia reda dengan apa yang yang terjadi, namun jauh di sudut hatinya, Jamil mengakui sukar untuknya menempuh kehidupan pada masa akan datang tanpa isteri di sisi.

“Terus terang, memang sukar membesarkan anak-anak tanpanya namun hidup harus diteruskan. Pesanan terakhirnya supaya menjaga anak-anak akan saya ingat sampai bila-bila. Paling menyedihkan adalah anak bongsu saya yang berusia 8 tahun itu. Saya harap dia mengerti apa yang berlaku,” katanya.

Ditanya apakah arwah juga dijangka akan berlakon dalam filem itu seperti yang dilakukannya untuk filem Momok yang pertama, Jamil mengiyakan perkara itu.

“Ketika filem baru ini dilancarkan minggu lalu, waktu itu dia memang tidak sihat. Tapi dia tetap memberikan sokongan pada saya. Dan memang saya bercadang untuk memanggilnya berlakon dalam filem ini dan dia sendiri pun ada berkata, jika kesihatannya mengizinkan, dia memang teringin untuk berlakon.

“Tapi, nampaknya hasrat arwah tidak kesampaian,” tutur Jamil dengan suara yang tersekat-sekat.

Sebelum menamatkan perbualan, Jamil ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tidak sempat dia hubungi untuk memaklumkan kematian isterinya itu.

“Saya memohon maaf kepada teman-teman yang tidak sempat saya hubungi kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. Memang saya terkejut sangat dengan apa yang berlaku. Bagi mereka yang sempat hadir, kami mengucapkan terima kasih. Jika arwah ada buat salah saya juga ingin mohon maaf bagi pihaknya,” katanya.

Sebelum menceburi bidang seni, arwah yang sememangnya mempunyai kejelitaan semula jadi itu pernah dinobatkan sebagai Ratu Malaysia sekitar tahun 1982. Malah dia juga aktif berlakon dan pernah juga membintangi beberapa buah filem antaranya Jauh Di Sudut Hati, Bujang Selamat dan Warna-Warna Hati.
Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga, arwah lebih selesa menjadi suri rumah tangga sepenuh masa..

Cuma sesekali saja dia muncul dalam dunia perfileman. Itupun apabila dia terbabit dengan projek perfileman dan menjadi penerbit bersama filem Tarik-Tarik pada tahun 1993. Kali terakhir arwah berlakon adalah menerusi filem Momok The Movie yang ditayangkan tahun lalu. Al-Fatihah.