Najib jamin kotakan janji, pacu negara lebih gemilang

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berikrar kerajaan pimpinannya akan menepati semua janji dan berusaha memacu negara ke arah masa depan lebih gemilang selaras dengan aspirasi rakyat, jika diberikan mandat yang jelas.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mampu memberi perkhidmatan terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat.
Lakar masa depan


“Marilah bersama-sama saya menjadikan impian kita satu realiti, berdirilah di sisi saya untuk kita bersama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik untuk negara dan anak-anak kita.


“Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama ini sudah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang diberi.

“Masa depan negara dan anak kita terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha berterusan dengan hala tuju yang jelas.
“Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak dibawa,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Tahun Baru 2013.

Beliau turut meletakkan empat asas daripada Dasar Transformasi Nasional yang perlu diteruskan bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi iaitu memperkukuhkan perpaduan kebangsaan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan sistem jaringan keselamatan sosial serta meningkatkan kemakmuran negara.

Najib berkata, secara keseluruhannya hasil transformasi kerajaan pada 2012 sebagai positif selepas berakhir fasa pertama prakarsa transformasi yang membabitkan kerajaan, ekonomi dan politik.

Kejayaan negara


Katanya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa meningkat secara yang membanggakan dan ini terbukti melalui laporan Bank Dunia, Doing Business 2013 meletakkan Malaysia negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia.

Laporan World Competitiveness Yearbook 2012 pula menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Namun, katanya, di sebalik semua yang berlaku, kerajaan tetap perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman lalu dalam menangani cabaran yang bakal mendatang tahun depan.

Kerajaan perlu meneruskan dan menambah baik apa yang terbukti baik dan terbukti berjaya, manakala setiap kegagalan perlu ditamatkan dan dijadikan teladan.