Brazil bakal berdepan Mexico pada aksi final di Stadium Wembley, Sabtu ini selepas Mexico mara dengan menewaskan Jepun 3-1 pada satu lagi separuh akhir terdahulu.
Saya cukup gembira. Kami sudah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk melangkah ke final. Kami hadir ke sini untuk meraih emas. Memang ia perlawanan yang sukar tetapi kami memiliki pasukan yang mantap, kata Damiao.
Sementara itu, pertahanan Brazil, Rafael yang beraksi bersama Manchester United pula berkata: Satu perasaan mengagumkan dapat beraksi untuk Brazil di laman sendiri kelab. Kami kini cukup yakin dan final pasti satu perlawanan berbeza.
Brazil yang sudah 60 tahun mencuba untuk meraih pingat emas Olimpik hampir melakukannya pada 1984 dan 1988 tetapi hanya berpuas hati dengan pingat perak, kini menang kesemua lima perlawanan di Olimpik London setakat ini.
Mexico pula menewaskan Jepun menerusi jaringan Marco Fabian pada minit ke-31, Oribe Peralta (65) dan Javier Cortes (90) selepas lawan mendahului menerusi jaringan Yuki Otsu (12).
Jepun dan Korea Selatan bakal bertembung di Stadium Millennium, Cardiff, awal pagi Sabtu ini untuk merebut pingat gangsa.
Reuters



