KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)mengakhiri dagangan pada paras tertinggi dalam sejarah selepas meningkat 4.95 mata kepada 1,711.29 mata berbanding paras penutupan semalam, dengan dorongan minat belian terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berikutan sentimen serantau yang positif, kata seorang peniaga.

Indeks utama itu berlegar di antara 1,703.34 mata dan 1,718.08 mata, dan mencapai rekod ketinggian bagi dagangan seharian pada 1,718.08 mata.
Paras tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 1,710.97 mata pada 17 April, dengan paras tertinggi dalam dagangan seharian 1,716.47 mata pada 12 April.


Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata selepas dagangan terbelenggu dalam jajaran sempit dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila pelabur enggan memasuki pasaran menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada 5 mei depan, akhirnya pasaran menunjukkan tanda terlepas dari belenggu itu.

"Ini disokong oleh kegiatan mencari saham murah di kaunter GLC dan pasaran serantau yang kukuh berikutan keyakinan tentang perolehan.

"Hakikat bahawa indeks itu telah menguji paras 1,700 sebanyak dua kali dan melantun dengan kukuh, membayangkan sokongan belian yang kukuh," katanya.

Mengulas rantau ini, beliau berkata, saham Asia meningkat seiringan dengan pasaran global disebabkan oleh laporan ekonomiyang positif di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Tuntutan baru bagi faedah pengangguran AS susut kepada 339,000 minggu lalu, iaitu paras terendah sejak pertengahan Mac, manakala data di United Kingdom, sebuah negara anggota Kesatuan Eropah, menunjukkan bahawa negara itu sedang mengelak daripada kemelesetan tiga kali ganda.

Beliau berkata, memandangkan sentimen serantau yang positif, suasana pilihan raya yang positif dalam berhati-hati dan jangkaan bahawa kemenangan akan berpihak kepada kerajaan yang ada sekarang, pelabur memilih GLC yang berada kedudukan yang baik bagi mod perniagaan yang dimandatkan oleh kerajaan.

Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 746.76 juta saham bernilai RM1.82 bilion daripada 734.40 juta saham bernilai RM1.37 bilion semalam.

Indeks Kewangan mengukuh 52.89 mata kepada 15,981.77 dan Indeks Perusahaan naik 6.69 mata kepada 2,839.3, tetapi Indeks Perladangan susut 6.2 mata kepada 8,107.82.

Indeks FBM Emas meningkat 30.431 mata kepada 11,678.82, dan Indeks FBMT100 mengukuh 29.79 mata kepada 11,516.60.

Indeks FBM Mid 70 naik 18.71 mata kepada 12,883.64, dan Indeks FBM Ace menokok 0.79 mata kepada 3,970.81.

Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 360 berbanding 297, manakala 335 kaunter tidak berubah, 617 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung urusniaga.

Antara saham cergas, Tenaga menambah sesen kepada RM7.83, MISC naik enam sen kepada RM4.36 dan CIMB mengukuh lima sen kepada RM7.77.

Axiata turun sesen kepada RM6.79 dan Sapurakencana kekal pada RM3.02.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM9.57,Sime Darby naik empat sen kepada RM9.44 dan Petronas Chemicals menambah sesen kepada RM6.48.

Jumlah dagangan dalam pasaran utama bertambah kepada 693.05 juta saham bernilai RM2.25 bilion daripada 621.26 juta saham bernilai RM1.79 bilion.

Dalam pasaran ACE jumlah dagangan susut kepada 55.31 juta saham bernilai RM13.26 juta daripada 93.23 juta saham bernilai RM18.81 juta sebelumnya.

Waran meningkat kepada 41.57 juta unit bernilai RM5.19 juta daripada 29.49 juta unit bernilai RM2.85 juta.

Barangan pengguna menguasai 42.91 juta saham dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 101.59 juta, pembinaan 42.06 juta, perdagangan dan perkhidmatan 260.80 juta, teknologi 29.58 juta, prasarana 23.39 juta, SPAC 4.86 juta, kewangan 81.07 juta, hotel 465,000, harta 89.79 juta, perladangan 8.14 juta, perlombongan 7,000, REIT 8.23 juta dan dana tertutup 104,000. - BERNAMA